KUALA LUMPUR 7 Okt - Pengecualian duti import dan eksais ke atas kenderaan elektrik (EV) bagi pemasangan luar negara (CBU) akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2024 bagi menggalakkan penggunaan EV di negara ini.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kerajaan turut memberi pengecualian fi Approved Permit (AP) bagi pengimportan EV sehingga 31 Disember 2023.
"Pengilang peralatan pengecasan EV pula diberi pengecualian cukai pendapatan 100% ke atas pendapatan berkanun mulai tahun taksiran 2023 hingga tahun taksiran 2032 dan Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100%," katanya ketika membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, Tenaga Nasional Bhd. juga komited untuk memasang solar di atas bumbung serta menyediakan kemudahan pengecasan EV dengan pelaburan sebanyak RM165 juta sehingga 2025.
Pada masa sama, katanya, Gentari, anak syarikat Petronas telah ditubuhkan sebagai peneraju tenaga bersih.
"Sebagai permulaan, Gentari komited untuk memasang panel solar di kemudahan kerajaan dan komersial menjelang 2024 dengan kapasiti PV kumulatif 3 megawatt dan menyediakan 500 unit kemudahan
pengecasan EV di seluruh negara," katanya. - DagangNews.com