Bajet 2024: MAA cadang insentif diperluas kepada semua jenis kenderaan elektrik | DagangNews Skip to main content

Bajet 2024: MAA cadang insentif diperluas kepada semua jenis kenderaan elektrik

KUALA LUMPUR 28 Sept - Ketika kerajaan mempertingkatkan inisiatif hijau dalam industri automotif, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mencadangkan insentif di bawah Bajet 2024 diberikan kepada semua jenis kenderaan elektrik (xEV) dan bukannya kenderaan elektrik (EV) sahaja, demi mempopularkan xEV di Malaysia.

 

Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain berkata istilah xEV merangkumi kenderaan elektrik hibrid (HEV), kenderaan elektrik hibrid plug-in, kenderaan elektrik bateri dan kenderaan elektrik sel bahan api.

 

“Pendekatan langkah demi langkah bermula dari HEV adalah cara paling ideal untuk menghentikan kenderaan enjin pembakaran dalaman konvensional sedia ada secara berperingkat.

 

"HEV adalah langkah pertama ke arah penggunaan besar-besaran kenderaan elektrik," katanya kepada Bernama.

 

Malaysia menyasarkan untuk memiliki 15% daripada jumlah volum industri (TIV) untuk xEV menjelang 2030 dan 38% daripada TIV menjelang 2040. Bagi menyokong penembusan EV, kerajaan mengumumkan bahawa EV di negara ini tidak akan dikenakan cukai jalan sehingga 31 Disember 2025.

 

Mohd Shamsor berkata MAA berharap insentif sedia ada bagi rebat RM2,500 dan pengecualian cukai jalan diperluaskan lagi kepada pembelian semua xEV untuk kenderaan penumpang dan komersial.

 

Bagi insentif baharu itu, persatuan mencadangkan pelepasan cukai pendapatan peribadi perlu diberikan bagi pembelian xEV dan pemasangan panel solar di rumah, katanya.- DagangNews.com