Bajet 2024: Sektor domestik dijangka raih manfaat daripada peruntukan kerajaan – TA Securities | DagangNews Skip to main content

Bajet 2024: Sektor domestik dijangka raih manfaat daripada peruntukan kerajaan – TA Securities

KUALA LUMPUR 26 Sept - Sektor domestik sepatutnya mendapat manfaat apabila kerajaan memperuntukkan lebih banyak sumber untuk memacu aktiviti domestik bagi mengatasi kesan eksport yang lebih lemah berikutan pertumbuhan ekonomi terhenti di Amerika Syarikat, China dan Eropah.

 

Mengulas tentang Bajet 2024 dalam nota penyelidikannya hari ini, TA Securities berkata sektor bahan binaan (Cahya Mata Sarawak Bhd) dan pembinaan (Gamuda Bhd, IJM Corp Bhd, Sunway Construction Group Bhd, TRC Synergy Bhd dan WCT Bhd) harus mendapat manfaat daripada perbelanjaan pembangunan berbilion selepas kelewatan disebabkan ketidaktentuan politik antara 2018 dan 2022.

 

Firma penyelidikan itu berkata peningkatan tumpuan terhadap inisiatif pembangunan mampan seharusnya memberi manfaat kepada syarikat yang melibatkan diri dalam pertumbuhan tenaga boleh diperbaharui (RE) dan eksport RE (Tenaga Nasional Bhd dan YTL Power International Bhd), di samping memberi manfaat kepada syarikat pembuatan, pembekalan, penjualan produk dan perkhidmatan melibatkan kenderaan elektrik, serta sistem dan rumusan solar fotovoltaik.

 

Menurut firma itu, insentif pelaburan dan geran untuk mengguna pakai teknologi termaju dan menggalakkan eksport nilai tambah tinggi akan memberi manfaat kepada sektor teknologi (Inari Amertron Bhd, Malaysian Pacific Industries Bhd dan Unisem (M) Bhd).

 

Sementara itu, syarikat telekomunikasi (Axiata Group Bhd, CelcomDigi Bhd dan Telekom Malaysia Bhd) boleh mendapat manfaat daripada fasa kedua Program Jaringan Prihatin dan usaha pendigitalan, katanya.

 

Bagi sektor pengguna, sebahagian besar pemain runcit serta makanan dan minuman (F&B) (Aeon Co (M) Bhd, Padini Holdings Bhd, Farm Fresh Bhd, Fraser & Neave Holdings Bhd dan Focus Point Holdings Bhd), juga harus mendapat manfaat daripada pelbagai inisiatif kerajaan untuk meningkatkan pendapatan boleh guna dan mengurangkan kesan kos sara hidup yang tinggi, terutamanya bagi golongan B40.

 

Firma penyelidikan itu berkata sektor kilang minuman beralkohol (Carlsberg Brewery Malaysia Bhd dan Heineken Malaysia Bhd) dan perjudian (Sports Toto Bhd dan Genting Bhd), berkemungkinan bergembira dengan ketiadaan kenaikan cukai kerana kerajaan berusaha untuk menghalang kegiatan seludup dan mengakui kesukaran dihadapi sektor itu sejak COVID-19 dan gangguan pendapatan ekoran larangan yang dikenakan kerajaan negeri Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu.

 

TA Securities berkata insentif untuk menarik pelaburan ke dalam taman aeroangkasa negara dan mempromosikan kandungan tempatan adalah positif untuk industri aeroangkasa, di mana UMW Holdings Bhd sepatutnya mendapat manfaat kerana anak syarikat milik penuhnya UMW Aerospace Sdn Bhd ialah pembekal Tahap-1 sarung kipas untuk enjin Rolls-Royce, sementara DRB-Hicom Bhd membekalkan bahagian sayap untuk Airbus dan Boeing.

 

Di samping itu, firma itu berkata sektor hartanah dijangka mendapat manfaat daripada beberapa inisiatif mempromosikan pemilikan rumah pertama dan mampu milik bagi mereka yang berpendapatan rendah hingga sederhana, membangunkan dasar mesra pemaju untuk rumah mampu milik, insentif pembangunan hijau dan kejelasan mengenai pembangunan infrastruktur dan zon ekonomi khas, di samping manfaat tambahan daripada kelonggaran kelayakan di bawah program Malaysia My Second Home.

 

Syarikat penyelidikan itu menasihatkan pelabur untuk membeli IOI Property Group Bhd, SP Setia Bhd, Sime Darby Property Bhd, Sunway Bhd, Mah Sing Group Bhd, Glomac Bhd, Ibraco Bhd dan Paramount Corp Bhd.

 

Firma penyelidikan itu berkata tekanan penurunan tambahan kepada FBMKLCI adalah daripada petunjuk Rizab Persekutuan AS (Fed), di mana kadar faedah AS berkemungkinan akan kekal tinggi untuk tempoh yang berpanjangan untuk mengurangkan inflasi.

 

“Ketiadaan langkah fiskal yang agresif dari China untuk memulihkan ekonominya yang perlahan juga merupakan peredam jangka segera bagi Malaysia, yang mengambil kira [China] sebagai destinasi eksport kedua terbesarnya.

 

“Oleh itu, kami meramalkan had dalam FBMKLCI melepasi sasaran akhir tahun 2023 kami sebanyak 1,515, berdasarkan CY2024 (tahun kalendar 2024) PER (nisbah harga-pendapatan) sebanyak 13.3 kali ganda,” katanya.  - DagangNews.com