KUALA LUMPUR 14 Sept - Balai Seni Maybank menganjurkan pameran bertema “HARI-HARI MALAYSIA: Koleksi Komik Tanpa Kata Meraikan Kemerdekaan dan Kenegaraan 2022”, yang membolehkan pencinta seni kembali menghayati karya seni pelbagai bentuk dalam suasana fizikal.
Pengerusi Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa berkata, bank berbesar hati untuk membuka semula Balai Seni Maybank yang merupakan suatu platform penting untuk mempromosi karya seni artis tempatan dan meningkatkan kesedaran terhadap kekayaan bakat seni serta kepelbagaian bentuk seni Malaysia.
“Selepas berehat lebih dua tahun Balai Seni kembali, dan kami berasa gembira untuk berhubung semula dengan artis dan pencinta seni dari seluruh negara.
"Pameran terbaru ini sangat dekat kepada hati kami kerana ia menunjukkan kepentingan kemerdekaan sambil mempamerkan kepelbagaian dan kreativiti seni, serta kegembiraan menghargai pelbagai lelaran dan tafsiran seni halus melalui lensa artis muda dan baru muncul," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zamzamzairani yang juga Pengerusi Yayasan Maybank berkata, pembukaan semula Balai Seni Maybank adalah sebahagian daripada komitmen kemampanan kumpulan untuk meningkatkan kehidupan satu juta isi rumah di seluruh ASEAN menjelang 2025.
“Adalah amat menggembirakan untuk melihat peningkatan dari segi sambutan positif yang diterima untuk pertandingan tahunan dan siri pameran yang dianjurkan sepanjang tahun dalam perjalanan kami untuk mempromosikan kreativiti seni belia kita.
"Kami berharap untuk dapat menggalakkan lebih ramai bakat muda untuk mempamerkan karya dan mengembangkan lagi kraf mereka agar mereka boleh meneruskan minat ini sebagai profesion sepenuh masa dan diiktiraf untuknya suatu hari nanti," katanya.
Sementara itu, Wong Chi Ying yang merupakan salah seorang artis yang mengambil bahagian berkata, komik atau seni berurutan sentiasa mendapat tempat yang istimewa di hatinya.
“Saya sangat gembira kerana Maybank menyediakan platform ini untuk artis muda untuk mempamer dan meraikan budaya indah negara kita sempena Hari Kemerdekaan," katanya.
Pameran tersebut menampilkan 88 karya seni daripada 21 artis komik yang dipilih daripada penyertaan ke pertandingan seni dan reka bentuk MyTIGER Values tahunan bank, yang kini memasuki tahun kelimanya.
Kesemua karya seni adalah dalam medium kartun digital dan bercetak serta berpaksikan pelbagai tema kehidupan termasuk kisah pelbagai lapisan masyarakat yang tinggal di Malaysia.
Pameran seni ini akan dibuka kepada orang ramai dari jam 10 pagi hingga 5 petang (Isnin hingga Jumaat) dan 11 pagi hingga 4 petang (Sabtu) sehingga 30 September 2022. Kemasukan ke Balai Seni Maybank yang terletak di tingkat satu Menara Maybank adalah percuma. - DagangNews.com