KUALA LUMPUR 1 Okt. - Bank Islam Malaysia Bhd. telah memenangi Anugerah Sukuk Kuasi Berdaulat Baharu Terbaik pada Majlis Anugerah The Asset Triple A sekali gus mengiktiraf peranannya sebagai Penasihat Prinsipal, Pengatur Utama, Pengurus Utama Bersama (JLM) dan Penasihat Syariah untuk Sukuk Murabahah RM1.1 bilion Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd.
Dalam majlis yang diadakan secara maya pada 15 September lalu, anugerah itu juga merupakan pengiktirafan keempat yang diterima Bank Islam di Anugerah Kewangan Islam The Asset Triple A.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, anugerah tersebut secara tidak langsung mengiktiraf usaha Bank Islam untuk menggalakkan amalan kelestarian yang bertanggungjawab.
Katanya, pencapaian ini turut mencerminkan komitmen Bank Islam dalam menyokong syarikat-syarikat terlibat serta menggalakkan penerapan standard ini sebagai amalan terbaik.
"Walaupun, berdepan cabaran pandemik, tetapi kami terus fokus untuk menerapkan prinsip Syariah, Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) dan pertimbangan persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) yang baik untuk kelangsungan perniagaan pelanggan.
"Kami berhasrat untuk membantu lebih banyak projek berasaskan ESG pada masa hadapan bagi manfaat semua," katanya dalam kenyataan hari ini.
Air Selangor telah memuktamadkan penerbitan Sukuk sulung bernilai RM1.1 bilion pada 23 Disember 2020 di bawah Program Sukuk Murabahahnya.
Sukuk Murabahah itu merangkumi Program Nota Jangka Sederhana Islam selama 30 tahun dan Program Kertas Komersial Islam selama 7 tahun dengan gabungan had sehingga RM10 bilion dalam nilai nominal.
Hasil daripada penerbitan Sukuk ini boleh digunakan, antara lain, untuk membiayai perbelanjaan modal dan keperluan modal kerja Air Selangor serta pembayaran semula hutang-hutang sedia ada atau hutang patuh Syariah pada masa hadapan.
Melalui Program Sukuk Murabahah, Air Selangor juga boleh menerbitkan Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) atau Sukuk Kelestarian Air Selangor untuk membiayai dan melabur dalam projek-projek pelaburan mampan dan bertanggungjawab.
Anugerah Kewangan Islam The Asset Triple A adalah antara anugerah industri paling berprestij dan telah menjadi salah satu anugerah khusus bidang kewangan global yang paling pesat berkembang dan berpotensi.
Ia mengiktiraf bank-bank dan syarikat kewangan Islam terbaik serta tawaran-tawaran yang mencerminkan
industri terbabit dalam tempoh yang dikaji. - DagangNews.com