KUALA LUMPUR 15 Jan - Prihatin dengan mangsa banjir yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS), Bank Muamalat Malaysia Berhad memperluas penyaluran bantuan kepada komuniti terjejas di Pahang.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, pihaknya sentiasa mengikuti perkembangan terkini isu banjir yang berlaku di seluruh negara dan komited untuk membantu meringankan beban mangsa terkesan secara kewangan dan emosi.
"Bank Muamalat memahami kesulitan dihadapi dan sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan kepada komuniti terjejas akibat bencana, yang mana kami mahu inisiatif program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami sentiasa bersifat proaktif dalam membina ‘Kehidupan Lebih Baik, Bersama’.
"Semoga bantuan yang diberikan serta kunjungan kakitangan Bank Muamalat ke PPS sedikit sebanyak memberi kelegaan dan memberi semangat baharu kepada mangsa-mangsa banjir," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Terdahulu, bantuan banjir berupa kit bantuan makanan itu diserahkan oleh Pengurus Cawangan Bank Muamalat Pekan, Mohamad Yusof Ibrahim kepada 160 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Merchong Jaya, Pekan pada 14 Januari 2024.
Sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web www.muamalat.com.my atau menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Bank Muamalat di talian 03-2600 5500, atau mengunjungi cawangan Bank Muamalat yang berhampiran. - DagangNews.com