Bank Pembangunan beri kemudahan pembiayaan RM373.54 juta kepada Inland Port Perlis Sdn Bhd | DagangNews Skip to main content

Bank Pembangunan beri kemudahan pembiayaan RM373.54 juta kepada Inland Port Perlis Sdn Bhd

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 15 Jan - Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) memberikan kemudahan Pembiayaan Aset Tawarruq berjumlah RM373.54 juta kepada Inland Port Perlis Sdn Bhd (IPPSB).

 

Pembiayaan khusus ini yang menjangkau sehingga 20 tahun diperuntukkan untuk kos kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan kemudahan pelabuhan pedalaman bersepadu, Perlis Inland Port yang terletak di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping, Perlis.

 

Terletak di kawasan seluas 202.3 hektar, Perlis Inland Port merupakan inisiatif strategik untuk memperkemas perdagangan rentas sempadan Malaysia-Thailand sekali gus mengurangkan kekangan kapasiti Terminal Kontena Padang Besar sedia ada. 

 

Setelah siap, ia akan berfungsi sebagai satu-satunya landasan pengangkutan rentas sempadan dan titik jalan antara Malaysia dan Thailand melalui Perlis.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Roni Abdulwahab berkata, projek ini adalah untuk memangkin perubahan dan kemajuan selaras dengan matlamat menyediakan modal yang memberi impak kepada pembangunan negara.

 

"Pendekatan kami melangkaui pertimbangan kewangan; ia adalah mengenai kesan holistik. Kami menggunakan rangka kerja MIND (Mengukur Kesan terhadap Pembangunan Negara) untuk memastikan pelaburan kami menyumbang bukan sahaja kepada pertumbuhan ekonomi tetapi juga kepada kesejahteraan masyarakat," katanya dalam kenyataan hari ini.


 

inland
Majlis menandatangani pembiayaan antara Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dengan Inland Port Perlis Sdn Bhd (IPPSB). Hadir sama Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli (tiga dari kiri).

 


Perlis Inland Port adalah Kerjasama Awam Swasta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Pelan Pengangkutan Kebangsaan 2030.

 

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Mutiara Perlis Sdn Bhd, Datuk Shabaruddin Ibrahim berkata, pembiayaan daripada BPMB ini merupakan langkah penting untuk projek Perlis Inland Port.

 

"Projek ini akan menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran negeri Perlis dan kepada ekonomi negara," jelasnya.

 


Perlis Inland Port dijangka memberikan kesan limpahan yang besar untuk pertumbuhan ekonomi dengan tumpuan khusus untuk memanfaatkan golongan berpendapatan rendah melalui penciptaan pekerjaan. 

 

Selepas siap, projek itu dijangka menjana 520 peluang pekerjaan langsung dan 3,500 pekerjaan tidak langsung dengan lebih 80 peratus daripada pekerjaan ditawarkan untuk masyarakat setempat.

 

Projek itu dirancang untuk dilaksanakan dalam tiga fasa dengan Fasa 1 dijangka mula beroperasi pada suku pertama 2025.

 

Apabila ketiga-tiga fasa itu berjaya disiapkan, Perlis Inland Port akan mempunyai infrastruktur canggih yang mampu menampung 2 juta TEU setahun.- DagangNews.com