Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 24 Mei - Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) akan meneruskan pakej Bantuan Pelepasan Bayaran (PRA) kepada individu dan perniagaan yang berdepan kekangan aliran tunai akibat pandemik COVID-19.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Joel Kornreich berkata, keutamaan pihaknya ketika ini adalah untuk terus membantu pelanggan mereka mengharungi impak pandemik berkenaan.
“Kami menggesa pelanggan yang berdepan cabaran kewangan untuk menghubungi kami segera bagi membincangkan pakej pelepasan yang bersesuaian dalam meringankan komitmen kewangan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara bantuan yang diberikan adalah buat individu yang kehilangan pekerjaan atau pendapatan mereka akibat pandemik COVID-19.
Dalam masa sama, bank juga melanjutkan sokongan serupa kepada perniagaan yang menyaksikan pendapatan mereka berkurangan, tambah Alliance Bank.
Bank itu memberi jaminan bahawa rekod Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) mereka yang memohon bantuan sebelum 31 Disember 2021 tidak akan terjejas.
Alliance Bank juga telah memudahkan proses permohonan pakej PRA berkenaan di samping melancarkan akaun perniagaan di aplikasi WhatsApp bagi menyediakan maklum balas berhubung bantuan itu dengan lebih pantas.
Sebagai rekod, bank berkenaan telah melanjutkan modifikasi pinjaman dan moratorium lebih RM7 bilion dengan kadar kelulusan lebih 95%.
Dalam pada itu, Alliance Bank juga telah mengeluarkan lebih daripada RM600 juta berbentuk Dana Pelepasan Khas dan RM120 juta bagi Kemudahan Pelepasan dan Pemulihan Bersasar oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Pelanggan yang berminat untuk memohon PRA boleh menghubungi talian 03-5516 9000 atau meninggalkan maklumat untuk dihubungi di www.alliancebank.com.my. - DagangNews.com