Banyak syarikat gagal manfaat pengurangan duti import CPTPP, RCEP - MITI | DagangNews Skip to main content

Banyak syarikat gagal manfaat pengurangan duti import CPTPP, RCEP - MITI

KUALA LUMPUR 13 Dis - Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menghadapi cabaran untuk meningkatkan kadar penggunaan atau pemanfaatan Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) oleh syarikat tempatan walaupun telah dikuatkuasakan sejak 2022.

 

Dalam jawapan disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen bertarikh 12 Disember 2023, kementerian itu berkata, ada kalangan syarikat tempatan yang mengambil masa untuk memahami jadual pengurangan duti import negara-negara ahli serta mengenal pasti produk-produk yang mendapat faedah terbesar melalui pengurangan duti di bawah CPTPP dan RCEP.

 

"Syarikat tempatan juga masih menggunakan perjanjian-perjanjian perdagangan bebas (FTA) lain yang lama dan sedang berkuatkuasa seperti Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA), FTA ASEAN-China (ACFTA) dan FTA Asean-Jepun (AJCEP) yang menawarkan kadar duti sama atau lebih rendah," katanya. 

 

MITI berkata, bagi meningkatkan tahap kesedaran mengenai peluang dan manfaat kedua-dua FTA tersebut, kementerian berkenaan sedang giat melaksanakan sesi libat urus dengan pihak industri.

 

"Fokus perlu diberikan kepada manfaat CPTPP dan RCEP bagi pasaran di negara-negara yang Malaysia tidak mempunyai FTA dua hala atau serantau bersama ASEAN.

 

"Pada 2023 sahaja, MITI telah melaksanakan lebih daripada 20 sesi libat urus dengan pelbagai pihak industri termasuk dewan-dewan perniagaan dan persatuanpersatuan industri," katanya.

 

Selain itu, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) turut merangka strategi bagi meningkatkan promosi eksport ke pasaran CPTPP dan RCEP serta negara yang menjalin FTA untuk pertama kalinya dengan Malaysia seperti Kanada, Mexico dan Peru.

 

Ini membabitkan barangan eksport Malaysia dengan tarif lebih rendah seperti produk minyak sawit, produk getah, produk kayu (antaranya papan lapis), barangan elektrik & elektronik (E&E), produk automotif dan lain-lain.

 

MATRADE juga, kata MITI, turut berperanan membawa pembeli-pembeli asing dari negara-negara ahli CPTPP dan RCEP yang berkualiti untuk dipadankan dengan syarikat-syarikat tempatan menerusi acara pameran perdagangan antarabangsa dianjurkan di Malaysia seperti Oil & Gas Asia (OGA), Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), Defence Services Asia (DSA) dan Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM). 

 

Menyentuh pencapaian manfaat CPTPP dan RCEP, kementerian itu berkata, kerajaan mengukurnya melalui pengeluaran Sijil Tempasal (CO) kepada pengeluar Malaysia yang membolehkan pengeluar Malaysia mendapat layanan berkeutamaan menerusi duti import rendah atau bebas duti di pasaran rakan dagang CPTPP dan RCEP, lapor Bernama.

 

Bagi CPTPP, sebanyak 5,224 Sijil Tempasal dengan nilai berjumlah RM1.91 bilion telah dikeluarkan dari 18 Mac 2022 sehingga 30 Nov 2023 manakala RCEP menyaksikan sebanyak 2,624 CO dengan nilai berjumlah RM897.99 juta, kata MITI. - DagangNews.com