Barisan Kabinet baharu akhirnya diumumkan, KLCI melonjak hampiri paras 1,600 | DagangNews Skip to main content

Barisan Kabinet baharu akhirnya diumumkan, KLCI melonjak hampiri paras 1,600

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Pasaran ekuiti tempatan terus memecah rekod tertinggi dalam tempoh dua bulan ini sehingga hampir mencecah paras 1,600 selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan barisan Kabinet baharu.

 

Indeks utama, FBM KLCI yang memulakan dagangan lebih rendah pagi ini berjaya ditutup 4.42 mata lebih tinggi kepada 1,590.16 daripada paras penutupan petang semalam, 1,585.74. 

 

Pergerakan menaik penanda aras pasaran itu didorong oleh sektor tenaga dan penjagaan kesihatan serta indeks hijrah dan syariah di bursa tempatan.

 

Bagaimanapun, prestasi dagangan secara keseluruhannya agak negatif apabila jumlah kaunter rugi mengatasi jumlah kaunter untung, pada perbandingan 620 daripada 393, dengan 445 kaunter tidak berubah serta 801 lagi tidak didagangkan. 

 

Menurut HLIB Research, tidak mustahil untuk FBM KLCI kembali berlegar dalam julat 1,600 hingga 1,615 berdasarkan peningkatan dalam pembelian ekuiti oleh pelabur asing ekoran risiko politik negara yang mula mereda.

 

Ini juga dipacu oleh kelonggaran sekatan pergerakan dalam pelbagai sektor ekonomi selain kadar vaksinasi yang meyakinkan, jelas firma itu dalam nota penyelidikannya, hari ini.

 

Baca : Senarai penuh Jemaah Menteri pimpinan Ismail Sabri

 

Beralih kepada prestasi kaunter untung, DKSH Holdings (Malaysia) Berhad berakhir dengan lonjakan harga saham terbesar, apabila ditutup 97 sen lebih tinggi kepada RM4.23 dengan RM13 juta nilai dagangan saham bertukar tangan. 

 

Ini diikuti oleh Dutch Lady Milk Industries Berhad yang kekal berada di dalam kaunter tersebut sejak awal dagangan pagi ini, berakhir 64 sen lebih tinggi kepada RM33.40. 

 

Turut merasai impak positif itu termasuk saham IHH Healthcare Berhad, Kobay Technology Berhad, OM Holdings Limited dan Sam Engineering & Equipment (M) Berhad. 

 

Saham Vitrox Corporation Berhad sebaliknya terpelosot di kaunter paling rugi, apabila ditutup 40 sen lebih rendah kepada RM18.60, diikuti oleh Genetec Technology Berhad yang menyusut 28 sen kepada RM29.10 pada penutupan dagangan petang ini.

 

Selain Vitrox dan Genetec, saham Oriental Food Industries Holdings Berhad, Rapid Synergy Berhad, AME Elite Consortium Berhad, Kumpulan H & L High-tech Berhad, dan LTKM Berhad turut berakhir lemah.

 

Dalam kalangan kaunter paling rancak diniagakan pula, saham KNM Group Berhad menokok 2 sen kepada 26 sen setakat 5 petang.

 

Turut menjadi tumpuan pelabur adalah saham Avillion Berhad yang berakhir 2 sen lebih tinggi kepada 14.5 sen dengan 2.5 juta jumlah saham bertukar tangan. - DagangNews.com