Battersea Power Station catat 11.2 juta pengunjung pada 2023, tumpuan ramai ketika Krismas | DagangNews Skip to main content

Battersea Power Station catat 11.2 juta pengunjung pada 2023, tumpuan ramai ketika Krismas

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 16 Jan - Battersea Power Station yang mula dibuka pada Oktober 2022 terus menarik kunjungan ramai di London terutama sebagai lokasi beli-belah dengan data bagi Disember 2023 menunjukkan peningkatan pengunjung sebanyak 30 peratus berbanding bulan sama tahun sebelumnya.

 

Disember merupakan tempoh penting bagi premis perniagaan terutama di Eropah kerana merupakan waktu orang ramai berbelanja untuk perayaan Krismas. 

 

Battersea Power Station yang terletak di kejiranan tebingan sungai menjadi tumpuan komuniti setempat, warga London dan pengunjung luar membeli-belah dan mengikuti pelbagai aktiviti menarik yang disusun sempena perayaan Krismas, kata Ketua Pegawai Eksekutif Battersea Power Station Development Company (BPSDC), Simon Murphy.

 

Menurut Murphy, keseluruhannya Battersea Power Station berjaya menarik kunjungan 11.2 juta orang sepanjang tahun 2023 yang didorong oleh pembukaan lebih 40 kedai, bar, restoran dan pengalaman riadah baharu di bangunan yang tersenarai sebagai Gred II* kerana warisan dan seni binanya itu.

 

Katanya, penganjuran pelbagai acara dan aktiviti kebudayaan di kejiranan tebingan sungai itu juga menyumbang kepada peningkatan pengunjung dengan acara utama ialah The Battersea Games.

 

"Sungguh mengagumkan untuk menyaksikan perubahan Battersea Power Station yang menerima ribuan pelawat sehari dan melihat wawasan pemegang saham untuk mengubah kawasan yang pernah terbiar ini menjadi realiti," katanya.

 

Battersea Power Station yang terletak di London dimiliki oleh konsortium syarikat-syarikat Malaysia terdiri daripada Permodalan Nasional Bhd (PNB), Sime Darby Property, SP Setia Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

 

battersea2
Battersea Power Station dibuka kepada orang ramai buat kali pertama pada 14 Oktober 2022. 

 

 

Pembangunan semula bekas stesen jana kuasa itu turut menawarkan pengalaman unik lif kaca setinggi 109 meter di cerobong asap ikonik Battersea Power Station yang dikenali Lift 109.

 

Sementara itu, pembukaan Arcade Food Hall pada Julai 2023 telah menyumbang peningkatan 25 peratus pengunjung pada sebelah petang sejajar dengan matlamat menjadikan Battersea Power Station sebagai lokasi pertemuan bersama rakan dan keluarga selepas waktu pejabat.

 

Ketua Pegawai Operasi Arcade Food Hall, Cokey Sulkin berkata, kira-kira 5,000 pelanggan datang setiap hari ke premis ini pada bulan lalu.

 

"Ternyata Arcade Food Hall diterima dengan sangat baik dan kami jangkakan momentum ini akan kekal pada 2024 dengan pelbagai perancangan sedang disusun," jelasnya.

 

Selain itu, Battersea Power Station bakal menyaksikan lebih banyak premis pelbagai jenama dibuka pada 2024 termasuk restoran Mexico, El Pastor, So.Shell Nail & Brow Bar serta kelab kesihatan mewah terkini daripada Third Space, LIPS Pharmacy, Klinik Perubatan dan Pusat Diagnostik LIPS.

 

Tawaran ruang pejabat Battersea Power Station akan terus berkembang dengan pelancaran 50 Electric Boulevard, bangunan pejabat canggih berkeluasan 200,000 kaki persegi baharu yang direka bentuk oleh Foster + Partners.

 

Bilangan penduduk juga akan terus bertambah apabila siapnya 204 unit apartmen Koa at Electric Boulevard kelak. - DagangNews.com