Bayaran GKP 4.0 Fasa 2 akan dibuat bermula Selasa - PM | DagangNews Skip to main content

Bayaran GKP 4.0 Fasa 2 akan dibuat bermula Selasa - PM

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Nov - Kerajaan akan mula menyalurkan Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 Fasa 2 di bawah Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bermula Selasa ini.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembayaran berjumlah RM500 itu akan memanfaatkan lebih 1 juta peniaga kecil dan sederhana (PKS) mikro yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

 

Beliau berkata, bayaran itu adalah lanjutan daripada bayaran Fasa 1 sebanyak RM500 yang telah dibuat pada September 2021.

 

"Secara keseluruhan, setiap peniaga terbabit akan menerima bayaran berjumlah RM1,000 di bawah GKP 4.0 bagi meringankan beban kewangan mereka akibat pandemik COVID-19.

 

"Inisiatif ini akan melibatkan penerima sedia ada GKP 1.0, GKP 2.0, GKP 3.0 dan penerima baharu GKP 4.0 dengan implikasi kewangan sebanyak RM500 juta," katanya Perdana Menteri dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

 

Ismail Sabri berkata, secara keseluruhannya, jumlah peruntukan yang telah dan akan disalurkan di bawah GKP sejak COVID-19 melanda negara adalah sebanyak RM6.08 bilion.

 

pm

 

pm22

 

 

"Kerajaan berharap agar bantuan tunai berterusan kepada PKS mikro yang layak ini dapat membantu aliran tunai di samping menggerakkan dan memulihkan kembali perniagaan mereka yang merupakan sektor yang paling terjejas sepanjang pandemik COVID-19," katanya. 

 

Pembayaran tersebut akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan dalam sistem GKP. 

 

pm222

 

Semakan status kelulusan GKP 4.0 boleh dibuat mulai 22 November 2021 melalui Portal GKP, iaitu https://gkp.hasil.gov.my.

 

Untuk maklumat lanjut, penerima GKP boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) yang turut dimuat naik di portal berkenaan.-Dagangnews.com