BDB bangunkan perumahan mampu milik dengan GDV RM60.7 juta di Langkawi | DagangNews Skip to main content

BDB bangunkan perumahan mampu milik dengan GDV RM60.7 juta di Langkawi

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (tengah) menandatangani plak pelancaran perumahan mampu milik Aman Nusa Langkawi sambil diperhatikan oleh Pegawai Daerah Langkawi, Datuk Abdul Gafar Yahya (kiri).
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Mei - Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) menerusi anak syarikatnya, BDB Land Sdn Bhd (BDB Land) akan membangunkan perumahan mampu milik Aman Nusa di Langkawi buat julung kalinya.

 

Pengerusi BDB, Che Had Dhali berkata projek pembangunan berkenaan bakal dibangunkan di atas tanah seluas 16.9 hektar di Mukim Bandar Kuah dengan dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) bernilai RM60.7 juta.

 

Menurut beliau, pembangunan projek berkenaan menumpukan kepada perumahan mampu milik dan perumahan Dasar Kerajaan Negeri Kedah (DPrNK) yang dijangka bermula pada hujung tahun 2023 dan disasarkan siap sepenuhnya dalam 2025.

 

Pembangunan Aman Nusa bakal menyaksikan pembinaan perancangan untuk membina 120 unit rumah teres satu tingkat dan 27 unit kedai pejabat dua tingkat yang terbuka kepada orang ramai untuk memilikinya.

 

Bagi pembinaan DPrNK pula, kumpulan itu akan membangunkan sebanyak 35 unit rumah Kasih Rakyat, 12 unit rumah Makmur Kedah dan sembilan unit rumah Aman Kedah di dalam perancangan projek Aman Nusa ini.

 

“Kumpulan BDB memahami permintaan dan keperluan rakyat di Kedah yang sememangnya memerlukan perumahan mampu milik dan diharapkan dengan adanya Aman Nusa ini kelak, dapat membantu golongan B40 dan M40 di Langkawi khususnya untuk memiliki rumah mereka sendiri,” jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (tengah) menyempurnakan gimik pelancaran perumahan mampu milik Aman Nusa Langkawi sambil diiringi Che Had Dhali (kiri) dan Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, Raja Shahreen Raja Othman (kanan)
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (tengah) menyempurnakan gimik pelancaran perumahan mampu milik Aman Nusa Langkawi sambil diiringi Che Had Dhali (kiri) dan Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, Raja Shahreen Raja Othman (kanan).

 

 

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pelancaran perumahan mampu milik Aman Nusa yang telah disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Hotel Adya, Kuah hari ini.

 

Che Had turut menjelaskan bahawa kumpulan itu berharap dapat terus terlibat secara langsung dalam pembangunan di Langkawi sekaligus membangunkan Kedah.

 

Pada 29 Mac lalu, anak syarikatnya, BDB Infra Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian jualan saham di antara Gemi Puncak Sdn Bhd dan juga Gemi Puncak Quarry Sdn Bhd sekaligus menjadikan kumpulan itu sebagai pemilik kuari granit terbesar di Langkawi yang berkeluasan 64 hektar.

 

Katanya lagi, kumpulan itu telah memiliki Darulaman Sanctuary, Langkawi Art Box, The Langkawi Cultural Village serta mempunyai bank tanah di Kuala Temoyong.

 

Menurut beliau, bersempena penganjuran Langkawi International Maritime and Aerospace 2023 (LIMA'23), mereka menawarkan platform BDB@Langkawi dengan dua tarikan utama iaitu The Airventure dan The LAB di mana The Airventure menyediakan ruang dan kemudahan untuk orang ramai menyaksikan pertunjukan udara dari jarak dekat dan jelas.

 

“Sementara itu, The Lab pula akan memperkenalkan Food & Fun Garden untuk peniaga tempatan memperkenalkan dan menjual produk dan perkhidmatan dengan menyediakan ruang parkir serta gerai makanan dan ruang santai yang luas dan kemudahan lain seperti surau, tempat menonton pameran udara dan tandas,” tambahnya. -DagangNews.com