BDB, Energise meterai kerjasama teroka dan promosi inisiatif pembangunan ekonomi hijau | DagangNews Skip to main content

BDB, Energise meterai kerjasama teroka dan promosi inisiatif pembangunan ekonomi hijau

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Nov - Bina Darulaman Berhad (BDB) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Energise Sdn. Bhd. bagi meneroka, membangunkan dan mempromosikan inisiatif yang menyumbang kepada pembangunan mampan ekonomi hijau.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, MoU itu adalah rangka kerja asas bagi kedua-dua pihak bagi meneroka dan menilai keupayaan dan/atau kemungkinan kejayaan mana-mana program usaha sama pada masa hadapan.

 

"MoU ini dimeterai dalam menyatakan hasrat dan kehendak kedua-dua pihak bagi mengkaji dan/atau membuka ruang kerjasama dan bertindak sebagai rangka kerja sebelum perjanjian dimuktamadkan," katanya.

 

Pelaksanaan kerjasama itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material ke atas pendapatan, aset bersih dan penggearan BDB bagi tahun kewangan semasa berakhir 31 Disember 2023.

 

Bagaimanapun, BDB menjangkakan sumbangan positif kepada pendapatannya pada masa hadapan sekiranya kerjasama itu dimuktamadkan dan berjaya dikomersialkan.

 

Pelaksanaan MoU tidak menjejaskan modal saham terbitan dan berbayar dan pemegang saham besar BDB.- DagangNews.com