Bekas CEO KWSP, Tunku Alizakri dilantik ke lembaga pengarah United Plantations | DagangNews Skip to main content

Bekas CEO KWSP, Tunku Alizakri dilantik ke lembaga pengarah United Plantations

KUALA LUMPUR 2 Jun - United Plantations Bhd mengumumkan pelantikan Tunku Alizakri Raja Mohd Alias sebagai pengarah bukan bebas dan bukan eksekutif baharu kumpulan itu, berkuat kuasa 1 Jun 2023.

 

Alizakri menggantikan Rohaya binti Mohd Yusof yang telah meletakkan jawatan.

 

Alizakri merupakan ketua pegawai eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dari Ogos 2018 hingga Februari 2021. Sebelum memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif, beliau merupakan timbalan CEO (strategi) KWSP.

 

Beliau juga pernah memegang jawatan berkaitan perancangan strategik di Bank Negara Malaysia, DiGi Telecommunications Bhd dan Malayan Banking Bhd.

 

Pada masa ini, Alizakri merupakan ahli lembaga pengarah Bumi Armada Bhd dan Petronas Dagangan Bhd, serta pengerusi Malaysian Venture Capital Management Bhd (Mavcap).

 

Beliau juga menganggotai lembaga pengarah Malaysia Aviation Group Bhd, Malaysia Airlines Bhd, Prudential BSN Takaful Bhd dan Yayasan Hasanah. - DagangNews.com