Bekas CEO MAHB dilantik sebagai Presiden dan MD baharu KPJ healthcare mulai 1 April 2022 | DagangNews Skip to main content

Bekas CEO MAHB dilantik sebagai Presiden dan MD baharu KPJ healthcare mulai 1 April 2022

Dato’ Mohd Shukrie Mohd Salleh memiliki pengalaman dalam sektor korporat yang luas.

KUALA LUMPUR 31 Mac - KPJ Healthcare Berhad mengumumkan pelantikan bekas CEO MAHB,  Dato’ Mohd Shukrie Mohd Salleh sebagai Presiden & Pengarah Urusan baharu manakala bekas Presiden Kanan Petronas Datuk Md Arif Mahmood dilantik sebagai Pengerusi syarikat, kedua-duanya berkuatkuasa 1 April 2022.

 

Mohd Shukrie mengambil alih jawatan daripada Ahmad Shahizam Mohd Shariff, yang telah pun memaklumkan kepada Lembaga Pengarah bahawa beliau tidak berhasrat untuk memperbaharui kontraknya yang akan tamat pada 30 Jun 2022 setelah menyandang jawatan itu sejak 1 Julai 2020.

 

Beliau telah menyertai MAHB pada Mei 2019 sebagai Ketua Pegawai Operasi dan kemudiannya memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, di mana beliau telah memainkan peranan penting dalam mengemudi Kumpulan melalui tempoh mencabar pandemik dan mengekalkan operasi dan kestabilan kewangan MAHB.

 

''Pengalaman beliau akan memainkan peranan penting untuk memastikan KPJ Healthcare meneruskan pertumbuhan dan pelan strategik jangka panjangnya,'' kata KPJ dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Sebelum pelantikannya sebagai Ketua Pegawai Operasi MAHB, Mohd Shukrie telah diamanahkan untuk mengetuai Redbox Logistics AirAsia sebagai CEO dan kemudiannya sebagai COO untuk AirAsia Malaysia.

 

Pada 2005, beliau menyertai DRB-HICOM Berhad di mana beliau telah menyandang pelbagai peranan kepimpinan termasuk sebagai Pengawal Utama, Ketua Pegawai Kewangan, Ketua Pegawai Operasi dan Ketua Pegawai Eksekutif dalam pelbagai anak syarikat dalam Kumpulan DRB-HICOM.

 

Beliau menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KL Airport Services Sdn Bhd, yang merupakan anak syarikat pengendalian darat, kargo dan logistik pesawat dalam Kumpulan DRB-HICOM.

 

Pada 1 Julai 2011, beliau telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Pos Malaysia Berhad dan kemudiannya menyertai Konsortium Logistik Berhad pada 2013 sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan sebelum kembali menerajui Pos Malaysia Berhad sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya pada November 2015.

 

Beliau merupakan Akauntan Bertauliah dan ahli Institut Akauntan Malaysia serta memegang Ijazah dalam Pengajian Perniagaan dari University of North London.


 

Md Arif Mahmood
                              Md Arif Mahmood

 

 

Sementara itu, Md Arif Mahmood mengambil alih jawatan pengerusi syarikat daripada Tan Sri Dr Ali Hamsa, yang telah berkhidmat sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif dan Pengerusi Syarikat sejak Jun 2021.

 

Md Arif, yang baru-baru ini bersara sebagai Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hiliran Petronas pada 1 Januari 2022, mempunyai kerjaya yang cemerlang dengan pengalaman lebih 37 tahun dalam industri minyak dan gas bersepadu.

 

Beliau adalah ahli pasukan kepimpinan Petronas dengan menggalas tanggungjawab utama untuk memimpin, menyusun strategi, memacu prestasi dan pengembangan Perniagaan Hiliran Global Petronas.

 

Beliau sebelum ini merupakan Naib Presiden Kanan, Strategi Korporat & Risiko dan juga Naib Presiden Perniagaan Minyak PETRONAS selain pelbagai jawatan pengurusan kanan dalam Kumpulan Petronas termasuk, CEO ASEAN Bintulu Fertilizer (ABF), Pengurus Besar Kanan (Perniagaan Runcit) Petronas Dagangan Berhad dan Pengurus Besar Loji Pemprosesan Gas (Kompleks B), Petronas Gas Berhad. - DagangNews.com