Bekas CEO MARii Madani Sahari dihadapkan lagi ke mahkamah, didakwa tipu Lembaga Pengarah RM6.4 juta | DagangNews Skip to main content

Bekas CEO MARii Madani Sahari dihadapkan lagi ke mahkamah, didakwa tipu Lembaga Pengarah RM6.4 juta

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Automotive Robotics And IOT Institute (MARii), Datuk Mohamad Madani Sahari didakwa menipu Lembaga Pengarah MARii di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini./Gambar Bernama

KUALA LUMPUR 29 Jan - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Automotive Robotics And IOT Institute (MARii), Datuk Mohamad Madani Sahari didakwa menipu Lembaga Pengarah MARii bagi mendapatkan kontrak penyediaan latihan automotif bernilai RM6.4 juta, lima tahun lalu.

 

Mohamad Madani, 57, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu Lembaga Pengarah MARii dengan memperdayakan mereka untuk mempercayai bahawa harga ditawarkan oleh syarikat LPS Learning Platform adalah RM6.4 juta sedangkan harga sebenar ditawarkan RM2.3 juta.

 

Perbuatan itu mendorong lembaga pengarah tersebut untuk menyerahkan kontrak bernilai RM6.4 juta kepada syarikat LPS Learning Platform dengan meluluskan cadangan pelantikan syarikat itu sebagai “penyedia latihan bagi wilayah Tengah, Pantai Timur, Selatan serta Sabah & Sarawak pada harga kontrak keseluruhan RM6.4 juta"  yang lembaga pengarah berkenaan tidak akan menyerahkan kontrak itu kepada syarikat LPS Learning dengan meluluskan cadangan pelantikan tersebut sekiranya tidak diperdayakan.

 

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik mesyuarat di sebuah hotel di Jalan Stesen Sentral Dua di sini antara 10.50 pagi hingga 3.35 petang, 14 Disember 2019.

 

Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman minimum penjara setahun dan maksimum 10 tahun serta sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

 

Sebelum pendakwaan hari ini, Mohamad Madani telah dihadapkan empat kali di mahkamah dengan Mahkamah Sesyen Shah Alam sebanyak dua kali dan masing-masing sekali di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan Mahkamah Sesyen Alor Setar.

 

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How memohon mahkamah mengguna pakai jaminan RM300,000 yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini.

 

“Tertuduh sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan esok dia akan didakwa lagi di mahkamah sama di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

 

"Pihak kami akan memohon untuk memindahkan kes di Mahkamah Shah Alam untuk dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen di sini,” katanya.

 

Chin How mengendalikan kes bersama Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Haresh Prakash Somiah.

 

Peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Mohamad Madani berkata, pihaknya bersetuju untuk mengguna pakai jaminan tersebut selain memaklumkan anak guamnya tidak pernah gagal hadir ke mahkamah sejak dituduh pada April 2023.

 

Hakim Rozina Ayob membenarkan permohonan pendakwaan untuk mengguna pakai wang jaminan RM300,000 dan menetapkan 29 Februari ini untuk sebutan kes.

 

Pada 14 April tahun lalu, Mohamad Madani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima rasuah RM5 juta pada 8 Julai 2021.

 

Beliau kemudian dihadapkan pula ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 8 Mei lalu atas pertuduhan meminta rasuah berjumlah RM5 juta yang didakwa dilakukan sekitar Mei 2021.

 

Dua hari selepas itu, Mohamad Madani kembali dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam bagi berdepan sembilan pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram yang melibatkan transaksi RM4 juta pada 2021 dan 2022.

 

Mohamad Madani juga berdepan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada 24 Mei tahun lalu atas pertuduhan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM1.038 juta pada 2021 dan 2022.- DagangNews.com