Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Zulhasnan dilantik Pengerusi Bukan Eksekutif KNM | DagangNews Skip to main content

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Zulhasnan dilantik Pengerusi Bukan Eksekutif KNM

Zulhasnan Rafique
 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Sept. - Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Dr. Zulhasnan Rafique telah dilantik sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif KNM Group Berhad.

 

Pelantikan Zulhasnan, 66, berkuatkuasa pada 17 September 2021, menurut makluman KNM di Bursa Malaysia, hari ini. 

 

“Zulhasnan menceburi bidang perniagaan pada tahun 1986 menerusi kumpulan syarikat Seri Meraga. Sepanjang pengalaman perniagaan beliau yang melebihi 25 tahun, Zulhasnan terlibat dalam pelbagai industri termasuk Penerbangan (AIROD); Sivil/Pembinaan Bangunan; Perdagangan Petroleum Perindustrian dan Gas; serta Pelaburan dan Pembangunan Hartanah. 

 

“Beliau juga telah berkhidmat untuk syarikat tersenarai awam Malaysia termasuk Island & Peninsular (I&P) Berhad (pembangunan hartanah). Zulhasnan memulakan kerjaya politiknya pada tahun 1999, di mana beliau bertanding dan dipilih sebagai Ahli Parlimen Wangsa Maju di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. 

 

“Beliau telah dipilih untuk dua penggal lagi pada 2004 hingga 2013, sebagai Ahli Parlimen Setiawangsa dan juga Kuala Lumpur. Zulhasnan juga berkhidmat di dalam Kabinet Malaysia selama lima tahun sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Menteri Wilayah Persekutuan (2004 hingga 2009),” jelas kumpulan.

 

Selain daripada KNM, Zulhasnan tidak memegang jawatan pengarah di mana-mana syarikat awam atau tersenarai lain.

 

Menurut kumpulan lagi, beliau juga tidak memegang sebarang kepentingan KNM mahupun anak syarikatnya.

 

Dalam makluman lain, KNM turut melantik Ho Soo Woon, 58, sebagai Pengarah Bebas kumpulan berkuatkuasa 17 September 2021. - DagangNews.com