Bekas pengarah, CEO didakwa 11 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM119 juta | DagangNews Skip to main content

Bekas pengarah, CEO didakwa 11 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM119 juta

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 10 Jan - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mendakwa dua individu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 11 kesalahan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM119 juta.

 

Dua individu terbabit ialah bekas pengarah Pixelvest Sdn Bhd, Dexter Ang Jen Chuen dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Infinity Trustee Berhad, Syaiful Riezal Ahmad.

 

“Mereka didakwa menerima hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang di bawah seksyen 4(1)(b) Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” kata SC dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Dexter Ang dan Syaiful Riezal masing-masing menghadapi lapan dan tiga pertuduhan.

 

Agensi tersebut berkata kesalahan pengubahan wang haram itu didakwa berlaku antara 1 Disember 2020 dan 9 Januari 2023 di Kuala Lumpur dan Selangor.

 

Kedua-dua individu tersebut dibicarakan atas pertuduhan masing-masing.

 

Hakim Mahkamah Sesyen, Azrul Darus membenarkan jaminan RM8.01 juta dengan dua penjamin kepada Dexter Ang dan RM100,000 dengan seorang penjamin kepada Syaiful Riezal.

 

Mereka juga diperintahkan untuk menyerahkan pasport mereka kepada mahkamah dan melaporkan kepada SC setiap bulan sehingga selesai perbicaraan.

 

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi. - DagangNews.com