Bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Rohaizat dilantik sebagai Penasihat Perubatan DC Healthcare | DagangNews Skip to main content

Bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Rohaizat dilantik sebagai Penasihat Perubatan DC Healthcare

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Feb - DC Healthcare Holdings Berhad, penyedia perkhidmatan perubatan estetik mengumumkan pelantikan bekas Timbalan Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Rohaizat Yon sebagai penasihat perubatan kumpulan.

 

Pelantikan itu mengukuhkan kepimpinan kumpulan tersebut dalam sektor penjagaan kesihatan dengan memanfaatkan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki Dr. Rohaizat.

 

Menerusi pelantikan itu, beliau akan memberi khidmat nasihat tentang penjagaan kesihatan dan dasar klinikal, membimbing kepimpinan organisasi selain memberikan pandangan tentang amalan terbaik dalam industri penjagaan kesihatan.

Dr. Rohaizat mengakui sangat berbesar hati untuk menyertai DC Healthcare sebuah pasukan perintis dalam perubatan estetik.

 

Beliau berkata, matlamat utamanya adalah untuk memanfaatkan kepakaran kesihatan awam bagi meningkatkan protokol penjagaan kesihatan dan memacu inovasi kumpulan.

 

"Secara bersama, kami bersedia untuk mentakrifkan semula kecemerlangan dalam penjagaan kesihatan estetik, memastikan standard kualiti tertinggi, penjagaan pesakit dan keselamatan selaras dengan garis panduan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau yang digelar panglima kerana peranan pentingnya semasa memerangi wabak COVID-19 berkhidmat lebih 35 tahun di dalam perkhidmatan awam dan bersara pada Jun 2020.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan DC Healthcare, Dr. Chong Tze Sheng berkata, pelantikan Dr. Rohaizat dalam pasukan kami adalah satu peristiwa penting untuk DC Healthcare.

 

Beliau berkata, pengalaman dan kepimpinannya dalam kesihatan awam akan memainkan peranan penting dalam memacu dasar dan amalan klinikal kumpulan ke arah standard kecemerlangan yang lebih tinggi. - DagangNews.com