Belanja pentadbiran tinggi, untung bersih Reservoir Link Energy susut kepada RM1.4 juta pada 2QFY24 | DagangNews Skip to main content

Belanja pentadbiran tinggi, untung bersih Reservoir Link Energy susut kepada RM1.4 juta pada 2QFY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Feb - Untung bersih Reservoir Link Energy Bhd bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2023 (2QFY24) menyusut kepada RM1.4 juta berbanding RM3.96 juta pada suku sama tahun sebelumnya kesan daripada perbelanjaan pentadbiran serta caj kewangan lebih tinggi.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi suku berkenaan bagaimanapun meningkat sebanyak 38% atau RM12.2 juta kepada RM44.7 juta berbanding RM32.4 juta pada tahun lalu.

 

"Peningkatan hasil kumpulan itu adalah disebabkan peningkatan sumbangan dalam segmen tenaga boleh diperbaharui (RE) serta segmen minyak dan gas sebanyak RM9.9 juta dan RM2.3 juta," katanya.

 

Untung bersih kumpulan itu bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Disember 2023 (6MFY24) juga susut kepada RM3.9 juta berbanding RM5.6 juta bagi tempoh sama tahun lalu disebabkan perbelanjaan pentadbiran tinggi serta peningkatan caj kewangan.

 

Hasil Reservoir Link bagaiamanapun meningkat sebanyak 52% atau RM38.5 juta kepada RM112.3 juta disebabkan pertambahan hasil daripada segmen RE serta segmen minyak dan gas masing-masing sebanyak RM25.2 juta dan RM13.3 juta.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, ketidaktentuan pasaran tenaga akan berterusan dan ia memerlukan pemain industri untuk tangkas dalam bertindak balas terhadap perubahan dalam landskap tenaga.

 

Selain itu mereka juga perlu menerima inovasi serta rumusan baharu ke arah masa depan rendah karbon.

 

"Kami akan terus mengambil bahagian secara aktif dalam tender untuk projek minyak dan gas serta RE.

 

"Kumpulan juga akan melaksanakan strategi perniagaannya dengan berhati-hati untuk mengekalkan pertumbuhannya bagi memberikan prestasi yang memuaskan pada tahun kewangan 2024," katanya. - DagangNews.com