Belanjawan 2023 : Perkeso sedia insentif kepada majikan ambil graduan TVET sebanyak RM600 sebulan | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2023 : Perkeso sedia insentif kepada majikan ambil graduan TVET sebanyak RM600 sebulan

KUALA LUMPUR 24 Feb - Kerajaan akan terus menggalakkan sektor swasta menggaji pekerja dengan nilai yang lebih tinggi.

 

Untuk itu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menyediakan insentif kepada majikan yang menggaji 17,000 graduan khususnya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebanyak RM600 sebulan selama tiga bulan sebagai tambahan kepada gaji yang ditawarkan, dengan RM45 juta disediakan untuk tujuan ini.

 

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perkeso juga menyediakan insentif kepada majikan menggaji golongan mudah terjejas seperti OKU, bekas banduan, gelandangan dan penganggur tegar sehingga RM600 sebulan untuk tempoh tiga bulan.

 

“Kerajaan turut menggalakkan anak muda meningkatkan keupayaan dan kemahiran dengan menanggung bayaran latihan untuk pekerja gig menjalani program peningkatan kemahiran pentauliahan-mikro sehingga RM4,000,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2023 hari ini.

 

Perkeso juga menyediakan elaun RM300 untuk tiga bulan bagi menggantikan pendapatan pekerja gig yang aktif dan sedang menjalani program latihan dengan menyediakan RM40 juta untuk manfaat 30,000 pekerja gig.

 

Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) dengan dana RM1 bilion akan dimanfaatkan untuk melaksanakan program latihan kemahiran kepada pekerja bagi majikan yang berdaftar dan mempunyai levi terkumpul.

 

Sementara itu, bagi membantu menangani pengangguran dalam kalangan belia, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan menawarkan 35,000 peluang kerjaya kepada lepasan sekolah dan graduan.

 

Menurut Anwar, pengalaman syarikat Sime Darby Plantation membuktikan, pekerja tempatan bersedia untuk bekerja di ladang sawit jika gaji yang dibayar sekurang-kurangnya RM3,000 dan persekitaran pekerjaan yang lebih menarik dibantu oleh mekanisasi dan mengadaptasi automasi serta menyasarkan penggajian sepenuhnya pekerja tempatan menjelang akhir 2027.

 

Dalam hal ini, kerajaan akan menyediakan RM50 juta geran sepadan untuk menggalakkan automasi sektor perladangan melalui penggunaan robotik dan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI) yang berupaya menggaji pekerja tempatan yang berkemahiran.

 

“Sebanyak RM80 juta disediakan bagi menambah baik kelestarian industri sawit dan mempergiat Kempen Menangani Antiminyak Sawit,” katanya. -DagangNews.com