KUALA LUMPUR 22 Sept - Seramai 201 kanak-kanak berusia 7 hingga 14 tahun menyertai Bengkel Keselamatan anjuran Allianz Malaysia Bhd dengan kerjasama Malaysia International Search and Rescue (MISAR), baru-baru ini.
Ketua Allianz4Good, Ng Siew Gek berkata, pihaknya menyokong bengkel tersebut dengan tujuan memperkasakan generasi muda supaya sentiasa selamat dan sihat serta lebih prihatin terhadap alam sekitar.
"Sebagai syarikat insurans, kami tahu kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana, terutama kepada kanak-kanak yang lebih terdedah kepada bahaya.
"Oleh itu, ibu bapa perlu mengetahui cara-cara untuk mengelakkan kemalangan dengan mendidik mereka tentang langkah-langkah keselamatan asas.
"Latihan ini adalah penting kerana kami juga telah mempelajari bahawa apabila kanak-kanak berasa selamat dan terkawal, mereka akan lebih berani untuk bersuara dan kurang berkemungkinan menjadi mangsa penjenayah," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Objektif bengkel keselamatan kanak-kanak oleh MISAR ini adalah bagi menyediakan pengetahuan asas tentang keselamatan kebakaran, keselamatan jalan raya, serta prosedur kecemasan seperti resusitasi kardiopulmonari (CPR) dan permohonan pertolongan cemas yang lain.
Modul program tersebut termasuk Melarikan Diri Daripada Penculikan, Melarikan Diri Dari Bilik Berasap, Keselamatan Elektrik, Panggilan Kecemasa 999, Keselamatan Jalan Raya serta Aktiviti Renjer Bumi seperti Tanam Pokok, Hentikan Sampah dan Hujan Yang Selamat.
Pengasas MISAR, Kapten K Balasupramaniam berkata, adalah tanggungjawab pihaknya untuk memastikan komuniti mereka selamat sepanjang masa.
"Dengan memupuk golongan belia tentang kepentingan keselamatan hari ini, kita akan mengurangkan beban kecederaan di negara kita untuk masa hadapan. Inilah cara kita membina negara yang lebih selamat bersama-sama," katanya.
Allianz Malaysia telah bekerjasama dengan MISAR untuk beberapa inisiatif berkesan sebelum ini, termasuk menyediakan Latihan Kemandirian Banjir untuk rakyat Malaysia, ahli Allianz We Care Community dan pekerjanya, agar lebih bersedia menghadapi banjir. - DagangNews.com