Berdepan dakwaan guna buruh paksa, penganalisis semak turun penarafan, pendapatan Supermax | DagangNews Skip to main content

Berdepan dakwaan guna buruh paksa, penganalisis semak turun penarafan, pendapatan Supermax

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Supermax Corp. Bhd. berdepan semakan semula unjuran pendapatan dan penarafan yang lebih rendah ekoran produk sarung tangan getah pakai buang keluarannya disekat pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS). 

 

Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) kelmarin mengeluarkan perintah sekatan pelepasan (WRO) terhadap Supermax Corp. dan anak-anak syarikatnya berdasarkan maklumat yang secara munasabah mengenai dakwaan penggunaan buruh paksa dalam operasi pengeluaran. 

 

CBP berkata, pihaknya mengenal pasti 10 indikator Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) terhadap penggunaan buruh paksa ketika menjalankan siasatan terhadap Supermax Corp.

 

Setakat 10 pagi ini, harga sahamnya susut 1 sen atau 0.49% kepada RM2.04 dengan 2.34 juta saham diniagakan.

 

Dalam nota kajian, MIDF Research menyemak turun penarafan sahamnya kepada 'trading sell' berbanding 'neutral' dengan harga sasaran (TP) juga lebih rendah pada RM1.67 sesaham (berbanding sebelumnya, RM2.72). 

 

Ia turut menyemak semula pendapatan bagi tahun kewangan 2022 dan 2023 yang lebih rendah dengan masing-masing sebanyak 26.9% dan 11.1%.

 

Berdasarkan laman web Supermax Corp, ia menunjukkan 51% daripada pendapatannya bagi tahun kewangan 2020 adalah menerusi benua Amerika. 

 

"Sejajar dengan andaian sebelum ini, kami membuat kesimpulan antara -25% hingga -30% anggaran pendapatan bagi tahun kewangan 2022 adalah daripada AS tanpa sebarang sekatan. 

 

"Berdasarkan anggaran ini, kami mengurangkan anggaran pendapatan bagi tahun kewangan 2022 sebanyak 26.9% dan 11.1% bagi 2023," jelasnya. 

 

 

Baca : Supermax Corp. pula disekat AS, harga saham merosot hampir 9%

 

 

Menurut firma itu, sama seperti pemain utama yang lain, Supermax Corp. dijangka mengalihkan stok sedia ada sarung tangan getah untuk pasaran AS ke benua lain. 

 

Namun, dengan persaingan yang tinggi di benua lain, kadar penggunaan pengeluaran Supermax Corp. mungkin berkurangan sebagai langkah bersiap sedia berhadapan dengan pembeli yang berhati-hati terutama dengan penurunan harga purata jualan (ASP) sarung tangan getah.

 

"Penurunan kadar pengggunaan ini sudah pun diambil kira ketika membuat unjuran pendapatan kerana kami menjangkakan ASP akan kekal di atas paras sebelum pandemik ekoran kos pematuhan sosial yang tinggi," katanya.  

 

Bagaimanapun, MIDF Research menjangkakan Supermax Corp. akan mengambil masa setahun untuk menyelesaikan isu berkenaan sama seperti yang dihadapi pemain lain dalam isu berkenaan.

 

Secara dasarnya, Supermax Corp. adalah syarikat keempat Malaysia yang berdepan larangan tersebut sejak 15 bulan lalu.

 

Sebelum ini, sekatan yang sama menimpa FGV Holdings Bhd., Sime Darby Plantation Bhd. dan Top Glove Corp. Bhd.

 

Top Glove mengambil masa hampir setahun untuk menyelesaikan isu sekatan tersebut sebelum produknya dibenarkan kembali memasuki pasaran AS pada 10 September lalu.

 

Sebelum itu, pada 2019, CBP juga telah mengambil langkah sama terhadap pengeluar sarung tangan getah Malaysia, WRP Asia Pacific Sdn. Bhd. sebelum ia ditarik semula pada Mac 2020.

 

"Melihat kepada 2 kejadian yang menimpa pemain sarung tangan getah dari negara ini, kami berpendapat, Supermax Corp tidak menjadikannya sebagai satu pengajaran untuk meningkatkan aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) walaupun dilaporkan telah berusaha memenuhi standard Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) bagi pekerja migran sejak 2019," katanya.

 

Menerusi makluman di Bursa Malaysia semalam, wakil Supermax Corp. di AS sedang berurusan dengan pihak CBP bagi mendapatkan penjelasan terperinci berhubung WRO yang dikenakan ke atas produk keluarannya serta langkah-langkah susulan.

 

Syarikat itu turut menegaskan bahawa ia sudah melaksanakan langkah-langkah bagi memenuhi standard ILO yang membabitkan aspek pekerja migran sejak 2019.

 

Pada 11 Oktober lalu, pengeluar sarung tangan getah itu melantik sebuah firma perunding antarabangsa untuk menjalankan audit ke atas status pekerja asing di kemudahan Supermax Group yang memberi tumpuan ke atas 11 Indikator Buruh Paksa yang ditetapkan oleh ILO.

 

Sementara itu, penganalisis Kenanga Research, Raymond Choo Ping Khoon berkata, perkembangan terbaharu itu adalah negatif kepada Supermax Corp. dan kemungkinan menjejaskan pendapatannya memandangkan harga premium ASP di AS dan menyumbang hampir 20% daripada jualan.

 

"Sejauh mana teruknya kesan ke atas pendapatan kumpulan, bergantung kepada betapa cepatnya Supermax Corp. menggantikan kerugian jualan di AS dan berapa tempoh yang akan diambil untuk menyelesaikan isu ini," jelasnya.

 

Firma itu menyemak turun untung bersih bagi tahun kewangan 2022 sebanyak 13% setelah mengambil kira ASP yang lebih rendah daripada AS$42 per 1,000 keping kepada AS$40. 

 

Ia sebaliknya mengekalkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2023 dengan ASP pada AS$28 per 1,000 keping. 

 

"Kami bagaimanapun tidak dapat membuat anggaran tepat sejauh mana ASP ini akan terus menurun. 

 

"Namun, pengeluar sarung tangan getah berpendapat ASP tidak mungkin berada di bawah paras harga sebelum pandemik memandangkan struktur kos telah meningkat antara lain termasuk kos pematuhan sosial dan kos bahan nitril yang tinggi berbanding dengan era sebelum tercetusnya wabak ini," jelas Ping Khoon.

 

Setelah mempertimbangkan semua faktor berkenaan, Kenanga Research mengekalkan penarafan 'market perform' ke atas Supermax Corp. 

 

Sebaliknya, TP dikurangkan kepada RM2.15 berbanding RM2.35 berdasarkan 11x pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2023 (-0.5 SD di bawah paras sebelum COVID-19 sebanyak 15x). 

 

Malah, nisbah harga kepada pendapatan (PER) juga direndahkan daripada 12x kepada 11x dengan mengambil kira risiko penurunan pendapatan ekoran sekatan WRO yang dikenakan CBP.

 

"Risiko kepada penarafan ini bergantung kepada ASP yang lebih rendah daripada jangkaan. Dengan menjangkakan suku berikutnya adalah mengecewakan tetapi ia diharapkan terbatas memandangkan ASP tidak lagi tinggi," katanya. - DagangNews.com