Berjaya Food bakal buka 4 lagi kafe Paris Baguette di Filipina selepas cawangan pertama di Manila | DagangNews Skip to main content

Berjaya Food bakal buka 4 lagi kafe Paris Baguette di Filipina selepas cawangan pertama di Manila

Sydney Quays bersama-sama tetamu kenamaan lain pada majlis perasmian cawangan pertama Paris Baguette di sebuat pusat beli-belah di Manila baru-baru ini.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 24 April – Kafe dan bakeri terkenal Korea Selatan yang diilhamkan daripada citarasa Perancis, Paris Baguette dibuka secara rasmi di SM Mall of Asia (SM MOA), Manila.

 

Paris Baguette dimiliki Kumpulan SPC - konglomerat makanan Korea Selatan yang berjaya mencetuskan fenomena buat kali pertama pada tahun 1988 apabila memikat citarasa dunia menerusi gabungan masakan Perancis dan Korea.

 

Pembukaan kafe tersebut di pusat beli-belah di tengah kota raya Manila itu adalah hasil usaha sama Berjaya Food Berhad (BFood) setelah menandatangani perjanjian francais induk dengan Middle Trade Inc. Filipina dan Paris Baguette Singapura pada Ogos 2023.

 

Menerusi usaha sama itu, unit Bfood, Berjaya Food (International) Sdn. Bhd. dengan kerjasama Middle Trade Inc. mengambil alih peranan operasi tempatan Paris Baguette di bawah Berjaya Paris Baguette Philippines.

 

pb2

 

Pengerusi Berjaya Paris Baguette Philippines yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) BFood, Datuk Sydney Quays berkata, pihaknya merancang membuka empat lagi cawangan Paris Baguette di seluruh Filipina.

 

Menyatakan keterujaannya ke atas masa depan jenama itu, Sydney berkata, pihaknya juga akan merokai pasaran ASEAN yang lain.

 

"Dengan Malaysia dan Filipina sebagai titik permulaan kami, BFood memulakan perjalanan pertumbuhan dan penerokaan masakan, membawa tawaran terkenal Paris Baguette lebih dekat dengan komuniti ASEAN," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Berjaya Food meterai perjanjian francais induk buka kafe Paris Baguette di Filipina pada suku keempat 2023

 

Selain Sydeny, perasmian kafe dan bakeri nombor satu Korea Selatan itu turut dihadiri Duta Besar Korea Selatan ke Filipina, Lee Sang-Hwa, Presiden, GCEO SPC, Hur Jin-soo, Naib Pengerusi Berjaya Paris Baguette Filipina, Frederick Siy, CEO Paris Baguette Asia Tenggara, Hana Lee dan Presiden SM Supermalls, Steven Tan.

 

Para tetamu pada majlis itu turut disajikan dengan pelbagai hidangan kegemaran global Paris Baguette seperti roti sutera khas, kek yoghurt strawberi dan croissant mentega.

 

pb1

 

Menambahkan sentuhan bakat Filipina, acara itu turut memperkenalkan Siri Ube dan Ensaïmada yang eksklusif di Filipina sekali gus mempamerkan komitmen jenama itu terhadap inovasi sambil menghormati cita rasa tempatan.

 

Paris Baguette memiliki lebih 3,400 kedai di Korea Selatan menjadikannya rangkaian kedai roti nombor satu di Republik itu.

 

Dengan pengembangan di Malaysia, Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, China, Perancis, Vietnam, Indonesia, Kemboja, Singapura dan kini Filipina, jejak global jenama itu hampir mencapai 4,000 lokasi.

 

Dengan setiap lokasi baharu, Paris Baguette telah menjadi destinasi kegemaran penduduk tempatan, menawarkan bukan sahaja produk bakeri ala Perancis yang luar biasa tetapi juga suasana kafe yang menepati konsep tersebut. - DagangNews.com