IPOH 17 Oktober - Siapa sangka pasar raya A1 Cash & Carry yang mempunyai tiga cawangan di Ipoh bermula dengan sebuah gerai tepi jalan di Buntong cuma menjual ikan dan sayur-sayuran.
Dengan modal RM100, pengasasnya, Vignes Thillai, 36, nekad berhenti kerja untuk memulakan usaha itu pada tahun 2009 kerana minat dalam bidang perniagaan runcit.
Berkat usaha dan kesabaran, kini A1 Cash & Carry mempunyai tiga pasar raya iaitu di Buntong dan di Little India dekat Jalan Lahat dengan lebih 80 orang pekerja.
Berasal dari keluarga susah, Vignes terdedah pada perniagaan sejak berusia sembilan tahun dengan bekerja di pasar untuk membantu meringankan beban keluarga selain melakukan pelbagai kerja sampingan.
"Pengalaman bekerja di pasar menjadikan saya mahir dalam selok belok urusan termasuk mendapatkan pembekal, jadi saya fokus pada perniagaan itu.
"Selepas tamat sekolah, saya menyambung pelajaran dalam bidang kemahiran sebelum bekerja makan gaji tetapi tidak serasi dengan jiwa lalu berniaga.
"Beberapa tahun kemudian apabila wang simpanan mencukupi saya dapat membuka sebuah kedai runcit di Buntong apabila perniagaan semakin maju," ujarnya ketika ditemui DagangNews.com baru-baru ini.
Selain jualan runcit, A1 Cash & Carry juga menjadi pembekal barangan keperluan harian kepada banyak rangkaian kedai-kedai runcit lain serta membekalkan bahan mentah pada lebih 50 pengusaha kedai makan.
Jelas Vagnes, pada tahun 2019 beliau membuka cawangan baharu di Little India dan mula meneroka skop perniagaan yang berbeza.
Konsep perniagaan yang diketengahkan A1 Cash & Carry ini sebenarnya memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk berbelanja pelbagai barangan di bawah satu bumbung.
Ini termasuklah memudahkan golongan bekerja di sekitar bandar Ipoh membeli barangan basah selepas pulang kerja tanpa perlu ke pasar raya lain.
"Perniagaan di Little India tidak sama kerana di sini skop jualan adalah pada barangan masyarakat India khususnya pakaian, hiasan dan barang kemas.
"Jadi kita mencari barangan seperti kraftangan, peralatan sembahyang, aksesori diri dan lain-lain yang kesemuanya diimport dari India.
"Bagaimana pun, A1 Cash & Carry masih mengekalkan jualan barangan basah dan ternyata konsep kita mendapat sambutan baik pelanggan," ujarnya. - DagangNews.com