BERNAS bawa masuk, edar 1.03 juta tan metrik beras putih import walaupun berharga paras tertinggi di pasaran antarabangsa | DagangNews Skip to main content

BERNAS bawa masuk, edar 1.03 juta tan metrik beras putih import walaupun berharga paras tertinggi di pasaran antarabangsa

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 26 Feb - Dalam membantu usaha Kerajaan untuk menawarkan harga beras putih import (BPI) yang lebih rendah, Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) akan meneliti keadaan harga pasaran beras antarabangsa, kos operasi dan kadar pertukaran mata wang asing.

 

Menurutnya, walaupun trend harga BPI masih berlegar di paras tertinggi dalam tempoh 15 tahun lepas, BERNAS telah membawa masuk dan mengedarkan BPI sebanyak 1.03 juta tan metrik pada tahun 2023 iaitu peningkatan sebanyak 46% berbanding tahun sebelumnya.

 

Pada masa sama, BERNAS terus komited melaksanakan tanggungjawab sosialnya dalam mengurus stok penimbal negara dan sebagai ‘Buyer of Last Resort' atau pembeli padi yang terakhir.

bernas

"BERNAS mengulangi pendiriannya dalam memberikan kerjasama penuh kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi dan pihak berkuasa berkaitan dalam mencari mekanisme dan langkah intervensi terbaik bagi memastikan ketersediaan bekalan beras stabil dan mencukupi untuk rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan media.

 

BERNAS menyambut baik cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya inisiatif Beras Putih Malaysia Madani (BPMM) diteliti dan diperhalusi melalui sesi penglibatan yang lebih terperinci oleh semua pihak berkepentingan sebelum sebarang keputusan dibuat.

 

BERNAS turut memuji usaha Kerajaan MADANI yang mendengar dan mengambil kira semua pandangan daripada wakil kerajaan, pemain industri, ahli akademik dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) pada sesi Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Tahun 2024 pada Jumaat. - DagangNews.com