KUALA LUMPUR 11 Feb - Pihak Bestinet Sdn. Bhd. dan Datuk Seri Mohd Amin Abdul Nor telah mengeluarkan satu surat tuntutan kepada sebuah portal berita dalam talian bebas dan dua individu berikutan artikel yang disiarkan di laman web portal berita bertarikh 4 Februari 2022 mengandungi pernyataan fitnah.
Surat tuntutan itu memaklumkan bahawa kandungan pernyataan fitnah itu adalah berniat jahat, tidak benar dan tidak dapat dijustifikasikan.
"Pernyataan fitnah berkenaan merupakan serangan terhadap integriti dan reputasi syarikat dan Mohd Amin, yang telah diheret ke dalam skandal, cemuhan dan kebencian orang awam.
"Bestinet dan Mohd Amin bersedia untuk menghentikan tindakan perundangan sekiranya portal berita dalam talian bebas itu dan dua individu berkenaan menghentikan tindakan seperti yang dinyatakan dalam surat tuntutan," menurut kenyataan itu hari ini.
Tambah kenyataan itu, syarikat dan Mohd Amin dalam pada itu mengekalkan hak dan kepentingan mereka di sisi undang-undang.