BHIC Bofors Asia diberi kontrak lanjutan RM21 juta untuk bekal alat ganti, selenggaraan meriam Bofors 40MM/L70 milik TLDM | DagangNews Skip to main content

BHIC Bofors Asia diberi kontrak lanjutan RM21 juta untuk bekal alat ganti, selenggaraan meriam Bofors 40MM/L70 milik TLDM

Kapal peronda KD Ganyang menggunakan meriam Bofors 40mm yang dipasang pada belakang kapal.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 19 Nov - BHIC Bofors Asia Sdn Bhd (BBA) telah menerima lanjutan kontraknya dengan Kementerian Pertahanan (Mindef) bagi kontrak meriam Bofors 40MM/L70 Gun Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selama dua tahun lagi hingga 31 Disember 2025.

 

Kontrak tersebut adalah pembekalan dan penghantaran alat ganti, penyelenggaraan dan latihan untuk senjata tersebut.

 

Kontrak itu mempunyai nilai siling sehingga RM21 juta.

 

BBA ialah usaha sama antara BHIC Defence Technologies Sdn. Bhd. (51 peratus) dan BAE Systems Bofors Holdings Sdn. Bhd. (49 peratus).


 

parafrasa
Kapal
Kebanyakan kapal TLDM yang menggunakan meriam Bofors 40mm berusia lebih 40 tahun.

 

"Pelanjutan ini menandakan perkongsian berterusan antara BBA dan Mindef mengukuhkan komitmen mereka terhadap keupayaan operasi TLDM," kata Boustead Heavy Industries Corp Bhd dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

BBA menerima surat penerimaan (LOA) untuk pembekalan dan penghantaran alat ganti, penyelenggaraan dan latihan untuk Bofors 40MM/L70 Gun TLDM pada Disember 2020.

 

Ia diperbaharui untuk tempoh tiga tahun pada 1 Januari 2021 hingga 31 Dis 2023.

 

Meriam Bofors 40MM/L70 Gun merupakan persenjataan pertahanan udara aras rendah yang dibangunkan oleh firma AB Bofors Sweden (kini BAE System Bofors) sejak tahun 1946.

 

Meriam
Meriam BOFI Bofors 40mm yang pernah digunakan Tentera Darat sebelum `dibersarakan 'pada tahun 2002.

 

Ia merupakan senjata pertahanan udara yang terbaik dalam kelasnya dan digunakan lebih 50 negara sama ada di kapal atau darat.

 

TLDM mula mengoperasikan meriam-meriam ini pada bot-bot peronda dan kapal serangan laju sejak tahun 1965.

 

Meriam yang dikendalikan secara manual ini lebih ringkas kerana tidak mempunyai sistem elektronik atau optik yang rumit.

 

Bagaimanapun, jumlah meriam Bofors 40MM/L70 Gun yang dioperasikan TLDM kini semakin berkurangan kerana kebanyakan kapal perang utama pasukan itu beralih kepada meriam lebih moden seperti Bofors 57mm dan Oto Melara 76mm.

 

Kapal tempur pesisir (LCS) jika siap kelak juga akan dipasang dengan selaras meriam Bofors 57mm selain dua laras meriam kaliber kecil MSI DS30M 30mm.- DagangNews.com