KUALA LUMPUR 12 April - Pengguna BigPay kini boleh menggunakan perkhidmatan DuitNow Transfer untuk membuat pemindahan dana domestik segera daripada atau kepada bank tempatan dan e-dompet yang mengambil bahagian.
Pengguna boleh membuat pemindahan dana itu kepada penerima menerusi ID DuitNow sama ada nombor telefon bimbit, nombor kad pengenalan, nombor pendaftaran perniagaan, nombor ID polis atau tentera atau nombor pasport penerima.
Pada masa sama, pengguna boleh menggunakan DuitNow QR dan DuitNow Transfer untuk semua pembayaran dan pengguna yang memautkan akaun mereka dengan airasia superapp boleh menebus mata ganjaran yang diperolehi untuk tiket penerbangan, penghantaran makanan dan perjalanan.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama BigPay, Salim Dhanani berkata, BigPay berhasrat menjadi platform utama yang menyediakan perkhidmatan kewangan mudah dan selamat untuk rakyat Malaysia dan pihaknya yakin dengan penambahan rangkaian produk DuitNow akan memberi kesan positif.
"Kami akan sentiasa bekerja keras bagi membolehkan BigPay digunakan di seluruh tempat dan semua jenis perniagaan pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menerusi DuitNow, BigPay berada di hadapan dalam menyediakan kemudahan kepada penggunanya menerusi penggunaan satu aplikasi mudah.
Sejak mula diperkenalkan pada 2017, penambahbaikan kemudahan perkhidmatan kewangan menjadi visi dan misi utama BigPay dan sejak lima tahun lalu, mereka sudah membantu lebih 2 juta rakyat Malaysia untuk mendapatkan kemudahan perkhdimatan kewangan digital.
Mereka juga berjaya menyedikan beberapa produk kewangan selain akaun e-duit seperti kiriman wang antarabangsa, insurans mikro serta yang terbaharu pinjaman peribadi digital. - DagangNews.com