KUALA LUMPUR 18 Julai - Bina Darulaman Bhd. (BDB) melantik Mohd. Iskandar Dzulkarnain Ramli sebagai presiden dan ketua pegawai eksekutif (CEO) berkuat kuasa hari ini.
Sebelum menyertai BDB pada 2014, Mohd. Iskandar, 38, berkhidmat dengan pelbagai organisasi termasuk Khazanah Nasional Bhd., Kumpulan Perangsang Selangor Bhd. dan Sapuracrest Bhd., menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Katanya, beliau mula menyertai BDB sebagai ketua perancangan korporat kumpulan dan pengurusan risiko perusahaan, dengan peranan utamanya adalah untuk memimpin, memantau dan menyelaras daya maju perniagaan bersepadu bagi strategi perniagaan kumpulan, menilai risiko ke atas peluang perniagaan baharu seperti pembangunan komersial, tanah dan korporat serta pelaksanaannya.
"Selepas dilantik sebagai ketua pegawai operasi pada 2018, peranan utamanya ialah menerajui semua anak syarikat dalam hal operasi, memberi tumpuan kepada strategi dan menerajui pemulihan syarikat.
"Pengalaman luasnya merangkumi pengurusan risiko strategik, termasuk risiko pembangunan strategik dalam mengkaji projek utama, iaitu Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China, Pembesaran Pelabuhan Kuantan (KPE) dan Program Penstrukturan Semula Projek Air Khas di badan berkanun kerajaan persekutuan," katanya.
Sementara itu, dalam makluman berasingan, BDB berkata, ia melanjutkan tempoh perkhidmatan pengerusi eksekutifnya, Che Had Dhali selama 3 bulan lagi berkuat kuasa 15 Julai 2022. - DagangNews.com