KUALA LUMPUR 9 Jan - Bintai Kinden Corporation Berhad telah memenuhi semua syarat di bawah Perjanjian Pelepasan Bersyarat (CRI) yang diberikan oleh MBSB Bank Berhad, sekali gus membolehkannya meneruskan pembayaran balik Pembiayaan Berjangka-i Islam yang tertunggak.
MBSB Bank dan anak syarikat Bintai Kinden, Optimal Property Management Sdn. Bhd. (OPM) pada 8 Januari 2024 telah memfailkan notis penamatan mengenai tuntutan balas di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Bintai Kinden dan OPM menerima pengesahan bertulis daripada MBSB Bank mengenai notis itu tetapi mereka bebas untuk memfailkan semula dan tiada perintah mengenai kos terhadap kumpulan itu.
"Saman undang-undang itu dianggap telah ditarik balik melalui penyelesaian secara baik selepas itu.
"Namun begitu, kandungan notis penamatan kemudahan perbankan Pembiayaan Berjangka-i Islam bernilai RM109 juta bertarikh 29 Mac 2023 kekal sah," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Terdahulu, Bintai Kinden diklasifikasikan sebagai entiti Nota Amalan 17 (PN17) pada 28 Mac 2023, selepas gagal membayar balik pinjaman kepada MBSB.
Ini disebabkan oleh penghutang tunggal OPM, Kolej Teknologi Islam Melaka Bhd, yang dilaporkan memberi tekanan kewangan yang melampau kepada sumber kewangan Bintai Kinden.
Bintai Kinden dan MBSB Bank secara kolektif sedang dan akan berhubung Kolej Teknologi Islam Melaka Berhad (KTIMB) serta Kerajaan Melaka bagi pembayaran balik hutang lebih kurang RM 58.6 juta pada Disember 2023.
Kumpulan itu berhasrat untuk memenuhi bayaran balik bulanan sebanyak RM500,000 dari bulan Januari hingga Jun 2024 terhadap kemudahan perbankan Islamic Term Financing-i yang tertunggak seperti yang ditetapkan di bawah CRI.- DagangNews.com