Biovet Venture optimis tembusi pasaran global, jadi pilihan nombor satu pencinta kucing di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Biovet Venture optimis tembusi pasaran global, jadi pilihan nombor satu pencinta kucing di Malaysia

Biovet Venture turut aktif menyertai promosi perniagaan, karnival dan showcase anjuran jabatan-jabatan kerajaan seluruh negara untuk mengukuhkan lagi jenama mereka.
oleh HUSNA ABDULLAH

KUANTAN 5 Ogos - Biovet Venture, syarikat pengeluar vitamin dan makanan kesihatan kucing milik Bumiputera di sini menyasarkan jualan sebanyak RM10 juta pada tahun ini iaitu peningkatan hampir 40% berbanding RM6.4 juta yang direkodkan pada tahun lepas.

 

Pengarah Urusannya, Mohd Azrie Naqiuddin Ahmad Tarmizee berkata dia yakin dapat mencapai sasaran tersebut kerana syarikat yang ditubuhkan pada tahun 2020 itu telah berjaya mencatat jualan sebanyak RM4.2 juta setakat suku kedua tahun ini.

 

"Produk keluaran syarikat yang terlaris di pasaran ketika ini ialah vitamin kucing - Biovet Advance Health Booster kerana ia mengandungi multivitamin dan diperkaya dengan L-lysin yang mampu mencegah kucing dari jangkitan penyakit disebabkan virus serta membantu dalam meyembuhkan selsema dan demam haiwan comel itu.

 

"Selain itu, formulasinya juga dapat  menambah selera makan kucing agar haiwan peliharaan itu sentiasa bergerak sihat, melancarkan tumbesarannya dan kekal aktif. Sejak ditubuhkan, Biovet telah membantu merawat masalah kesihatan lebih 50,000 ekor kucing.

 

"Kesemua produk keluaran syarikat kami adalah vitamin kesihatan yang telah terbukti dari segi klinikal serta menjalani proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk membantu merawat pelbagai masalah berkaitan kucing," katanya kepada DagangNews.com hari ini.

 

Produk lain yang turut mempunyai fungsi berbeza untuk kesihatan kucing seperti meningkatkan selera makan, membanyakkan bulu, kesihatan mata, kecantikan kuku dan kulit ialah Biovet DMG, Immune Booster, Fish Oil dan Super Premium Kibble.

 

Ketika ini, Biovet Venture yang berpangkalan di Raub, Pahang telah pun mempunyai satu cawangan di Putrajaya dengan tenaga kerja keseluruhan seramai 48 orang.

 

Mohd Azrie Naqiuddin Ahmad Tarmizee
                    Mohd Azrie Naqiuddin Ahmad Tarmizee

 

Biarpun operasi perniagaannya baru 'setahun jagung', usahawan muda ini yang mendapat geran perniagaan sebanyak RM15,000 dari SME Corp Malaysia melalui program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) bijak merancang strategi untuk terus mengukuhkan jenama produknya di pasaran tempatan dan menembusi pasaran Asia.

 

Mohd Azrie Naqiuddin berkata dari segi pemasaran produk, dia memanfaatkan sepenuhnya platform beli belah online seperti Shopee serta Lazada dan mengakui kaedah itu ternyata sangat berjaya kerana pengeposan produk boleh dibuat ke seluruh dunia tanpa had.

 

Katanya, fokus turut diberi terhadap database pelanggan serta perkhidmatan susulan (after sales service) untuk mereka lebih mempercayai jenama Biovet sebagai makanan kesihatan dan vitamin terbaik yang diberi untuk kucing kesayangan.

 

"Buat masa ini kami tidak menang tangan melayan permintaan hasil pengiklanan di dua aplikasi tersebut namun bagi jangka masa panjang, sudah pasti impian kami adalah masuk ke beberapa pasaraya terkemuka seperti AEON, Mydin, Giant dan Lotus agar jenama ini terus menjadi pilihan nombor satu rakyat Malaysia.

 

"Kami juga sentiasa menyertai sebarang pameran, karnival atau showcase yang diadakan oleh jabatan dan agensi kerajaan untuk memperkenalkan Biovet kepada orang ramai, pemilik spa dan hotel kucing serta klinik kucing agar menggunakan vitamin kesihatan kami dalam perkhidmatan mereka.

 

"Ketika ini, sebahagian pekerja kami juga sedang berada di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Serdang, Selangor untuk mendekati pengunjung dan memperomosikan keistimewaan produk kami di sana," katanya. 

bio vet
Produk vitamin dan makanan kesihatan keluaran Biovet Venture yang semakin mendapat tempat di hati pencinta kucing seluruh Malaysia

 

Ditanya perancangan masa depan syarikatnya pula, dia berkata Biovet sentiasa menambah baik kualiti produk dengan mendapatkan khidmat nasihat pakar dalam bidang kesihatan haiwan kerana kualiti yang baik akan membantu syarikat kekal relevan dalam pasaran.

 

"Dek kerana minat dan hobi ini, pencinta kucing sanggup berhabisan wang ribuan ringgit untuk mendapatkan produk makanan dan vitamin kesihatan terbaik untuk kucing peliharaan mereka.

bio vet
Produk vitamin dan makanan kesihatan keluaran Biovet Venture yang semakin mendapat tempat di hati pencinta kucing seluruh Malaysia

 

"Potensi perniagaan dalam bidang ini sangat cerah kerana memelihara kucing yang cantik, manja dan gebu adalah satu trend atau lifestyle terbaharu terutama untuk golongan bujang di bandar-bandar besar.

 

"Manusia dan kucing mempunyai jalinan emosi yang sangat kuat menyebabkan apa sahaja produk berkaitan kucing sentiasa mendapat permintaan yang tinggi dari aspek makanan, penjagaan, tata rias dan ciri unik yang lain," katanya. - DagangNews.com