BIPC desak kutipan levi mandatori HRD Corp kepada industri bangunan dihentikan | DagangNews Skip to main content

BIPC desak kutipan levi mandatori HRD Corp kepada industri bangunan dihentikan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Julai - Majlis Presiden Industri Bangunan (BIPC) yang mewakili pelbagai pertubuhan termasuk Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) dan Persatuan Arkitek Malaysia (PAM) mendesak agar kutipan levi mandatori yang dikenakan kepada industri bangunan oleh Human Resource Development Corporation Bhd  (HRD Corp) dihentikan.

 

Pengerusi BIPC yang juga Presiden Institut Jurutera Malaysia (IEM), Ir. Prof. Dr Jeffrey Chiang Choong Luin menegaskan bantahannya terhadap kutipan levi itu dan menyatakan, pihaknya sudah menghantar surat kepada Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 2021 bagi membantah ketetapan baharu mengenai perluasan Akta Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (PSMB) 2001 (Akta 612), termasuk industri pembinaan berkuat kuasa 1 Mac 2021.

 

Beliau berkata, arkitek, jurutera, juruukur bahan, perancang bandar dan juruukur tanah dikawal selia di bawah lembaga profesional masing-masing yang menetapkan firma mereka membayara yuran pembaharuan tahunan selain tertaluk kepada latihan wajib di bawah program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) sebagai diluluskan oleh Lembaga masing-masing.

 

"Oleh itu, syarikat pembinaan dan firma profesional pembinaan tidak perlu didaftarkan dan dikenakan levi HRD Corp bagi pembangunan sumber manusia dan latihan.

 

"Kos menjalankan perniagaan juga telah meningkat dengan peningkatan kos bahan api dan rasionalisasi subsidi dalam sektor ini ditambah pula dengan kutipan levi HRD Corp mandatori untuk industri bangunan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Rehda gesa industri pembinaan dikecualikan pembayaran levi HRD Corp

 

Terdahulu, Rehda telah mengemukakan permintaan itu berikutan kebimbangan mengenai HRD Corp, yang telah menjadi perhatian selepas beberapa isu dibangkitkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Ketua Audit Negara. 

 

Antaranya termasuk pengeluaran mencurigakan, perjanjian hartanah meragukan dan pelaburan berisiko

 

Jeffrey berkata, pendirian mereka terhadap perkara itu tetap sama memandangkan industri bangunan dan pembinaan sentiasa berada di bawah tadbir urus Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

 

Katanya, CIDB telah menjalankan peranan melatih dan membangunkan kakitangan dan pekerja binaan melalui kutipan levi daripada kontraktor selaras dengan pindaan Akta CIDB 520.

 

"Kami meminta campur tangan kerajaan bagi memudahkan dan membantu pihak berkepentingan industri dan tidak membebankan lagi industri dengan kos tambahan kerana sumbangan levi yang besar kepada HRD Corp yang bukan untuk kepentingan terbaik industri bangunan dan pembinaan," katanya.- DagangNews.com