BlackBixon-KTP perluas jenama kopi ke sektor minyak dan gas | DagangNews Skip to main content

BlackBixon-KTP perluas jenama kopi ke sektor minyak dan gas

CHEE KONG (dua kiri) menghadiahkan cenderahati penghargaan kepada Yazif Jaafar (tiga dari kanan) selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama itu. Turut hadir, Rizvi Abdul Halim (kiri), Sofiyan Yahya (dua kanan) dan Gunalan Gingan (kanan).



Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 April - Blackbixon Sdn Bhd. menerusi kerjasama Koperasi Tenaga dan Petroleum Berhad (KTP) bakal memperluaskan jenama kopinya, BlackBixon ke dalam komuniti minyak dan gas (O&G).

 

Kerjasama itu bakal menyaksikan BlackBixon menjual jenamanya di pelbagai lokasi pesisir dan luar pesisir O&G milik ahli-ahli KTP.

 

Pengarah Urusan BlackBixon, Khoo Chee Kong berkata, KTP menawarkan rangkaian dan pasaran yang luas, terutamanya dalam kalangan sektor minyak dan gas serta tenaga.

 

“KTP juga mempunyai platform perniagaan dalam talian dinamakan edagang.

 

“Kami optimistik platform perniagaan dalam talian yang semakin berkembang ini akan terus meningkatkan keterampilan BlackBixon dan menawarkan peluang perniagaan bagi BlackBixon,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama itu, hari ini.

 

Sebelum itu,BlackBixon yang merupakan anak syarikat Ni Hsin Resources Berhad (Ni Hsin) memeterai perjanjian usahasama dengan KTP, masing-masing diwakili oleh Chee Kong dan Pengerusi KTP, Sofiyan Yahya.

 

 

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC), Mohd. Yazid Jaafar; Ketua Pegawai Eksekutif Blackbixon2Go, Rizvi Abdul Halim dan Setiausaha KTP, Gunalan Gingan.

 

 

Menurut BlackBixon, perjanjian itu juga dijangka memberi manfaat kepada ahli-ahli koperasi KTP yang bakal mempunyai satu lagi sumber pendapatan menerusi penyertaan mereka di dalam perniagaan jenama kopi tersebut.

 

BlackBixon mewakili penerokaan pertama Ni Hsin dalam industri makanan dan minuman (F&B) selain merancang untuk meluaskan jenama di negara-negara serantau.

 

Ini termasuk perluasan jenama hingga ke China, Korea Selatan, Jepun, Indonesia dan Singapura.

 

Sementara itu, ketik ditemui media, Sofiyan berhasrat untuk menyasarkan perluasan jenama BlackBixon menjangkaui 60 ahli koperasinya. 

 

“Malaysia menyaksikan lebih 1 juta ahli koperasi, dan kami secara dasarnya tidak menyasarkan (perluasan jenama BlackBixon) hanya ahli-ahli KTP.

 

“KTP mahu menembusi di luar industri ini kerana lebih banyak lagi pemain industri seperti sektor pembuatan dan perkhidmatan.

 

“Koperasi ini hanya bertindak sebagai sebuah platform untuk menjual BlackBixon kepada industri,” katanya.

 

Buat masa ini, Ni Hsin telah mempatenkan ciptaan BlackBixon bagi melindungi hak syarikat dan menjamin kelebihan daya saing bagi perniagaan F&B.

 

Untuk rekod, BlackBixon baru-baru ini melantik pengendali rangkaian mobil maya (MVNO), Red One Network Sdn Bhd bagi memasarkan dan menjual secara runcit kopi BlackBixon kepada 1.2 juta pelanggannya. - DagangNews.com