Blok terakhir apartmen servis Astrum Ampang dibuka untuk jualan, bermula RM631,000 seunit | DagangNews Skip to main content

Blok terakhir apartmen servis Astrum Ampang dibuka untuk jualan, bermula RM631,000 seunit

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Feb - Selepas mencatatkan kadar jualan sebanyak 97% bagi unit pejabat rumah kecil (SOHO) Transit dam SOHO Suite Astrum Ampang, sebuah lagi projek setia awan iaitu blok terakhir apartmen servisnya dibuka untuk jualan bermula pada harga RM631,000 seunit.

 

Apartmen servis Astrum Ampang terletak di antara Jalan Ampang dan Jalan Jelatek yang menyediakan salah satu akses terbaik bagi perjalanan masuk dan keluar bandar, dengan konsep pembangunan berorientasikan transit (TOD). 

 

Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM352 juta, Astrum Ampang terletak di tapak seluas 2.73 hektar terdiri daripada 468 unit dengan tawaran keluasan antara 570 hingga 1,030 kaki persegi.

 

Kediaman yang menyediakan lima pilihan reka bentuk, merangkumi 2+1 bilik tidur, dua bilik tidur, dan tiga bilik tidur dengan harga bermula RM631,000. Kesemua unit dijangka siap pada suku ketiga 2027.

 

Ketua Pegawai Operasi Setia Awan Group, James Bruyns berkata, Astrum Ampang akan menjadi tarikan bagi mereka yang mencari rumusan kediaman dengan gaya hidup pintar dan akan menjadi lokasi ideal untuk penduduk, terutamanya golongan pekerja muda.

 

"Kediaman itu dilengkapi dengan akses mudah kepada 27 kedai komersial di aras bawah selain kemudahan sedia ada di kawasan berhampiran," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kediaman itu juga adalah berhampiran dengan LRT disambungkan dengan laluan pejanalan kaki berbumbung yang akan diusulkan selain kedudukannya sekitar 4 kilometer dari pusat bandar Kuala Lumpur dan dihubungkan dengan empat lebuh raya.

 

Apartmen itu juga dilengkapi dengan 62 kemudahan premium termasuk ruang kerja, pusat kecergasan dengan keluasan melebihi 5,000 kaki persegi, kolam renang, trek joging, padang futsal dan sebagainya.

 

Baru-baru ini, Astrum Ampang juga menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama MAPLEHOME sebagai pembekal perkhidmatan sewaan pendek di Menara M Astrum Ampang.

 

Kerjasama ini diaturkan secara strategik sebagai elemen promosi utama untuk Setia Awan, selaras dengan pelancaran rasmi Menara M pada 20 Januari 2024.  - DagangNews.com