KUALA LUMPUR 1 Mac - Platform e-dagang yang menjual cenderahati secara on-demand, BloomThis hari ini melancarkan kedai fizikal pertamanya di dalam Hospital Pakar KPJ Damansara 2 (DSH2) di Bukit Lanjan, di sini.
Kedai fizikal tersebut yang dibuka dengan kerjasama KPJ Healthcare, bertunas daripada pelan strategik BloomThis untuk meneruskan kesinambungan dalam mencipta saat-saat indah buat pelanggannya, termasuklah ketika mereka sakit.
Sebagai jenama yang mengutamakan saat-saat menggembirakan untuk pelanggannya, BloomThis dan KPJ Healthcare menerusi hasrat bersama memberikan penjagaan kesihatan bermutu tinggi kepada pesakit, sekaligus menaikkan semangat pelanggan, pengunjung dan kakitangan hospital.
Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan BloomThis, Penny Choo berkata, pihaknya teruja untuk meluaskan jangkauan dalam memberikan khidmat yang lebih baik kepada pelanggan.
Katanya, walaupun kehadiran dalam talian membantu mereka berhubung dengan orang ramai di seluruh Malaysia, pihaknya tetap sedar tentang kepentingan untuk berhubung secara langsung dengan pelanggan-pelanggan.
"Justeru, pembukaan kedai fizikal ini membantu kami menzahirkan niat tersebut. Dengan cara ini, kami dapat bersama pelanggan pada saat-saat yang penting termasuk sewaktu menemani orang yang tersayang di hospital.
"Kami berbesar hati untuk menawarkan kepakaran kami dalam pemberian buah tangan dan gubahan jambangan bunga serta khidmat pelanggan yang luar biasa kepada pengunjung DSH2," katanya dalam satu kenyataan.
BloomThis akan membekalkan pelbagai pilihan buah tangan dan cenderahati seperti bunga-bungaan segar yang siap digubah dan boleh disiapkan seperti yang dimahukan, bakul buah-buahan, bakul hadiah, belon, dan pelbagai lagi.
Di samping itu, kakitangan DSH2 juga akan menikmati tawaran-tawaran istimewa, diskaun dan pelbagai promosi secara berterusan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif DSH2, Dr Ahmad Syukri Jamaludin berkata, pihaknya teruja dengan kerjasama dengan BloomThis yang akan memberikan pengalaman unik kepada pelanggan.
Katanya, DSH2 akan menjadi hospital premier buat KPJ Healthcare, yang berdedikasi untuk menyediakan rawatan dan keselesaan perubatan yang terbaik kepada pesakit kami.
"Dengan pembukaan kedai ini, kami berharap agar ia dapat meningkatkan suasana mesra dan ramah di DSH2," katanya. - DagangNews.com