BNM kekalkan OPR pada 2.75%, atasi jangkaan penganalisis | DagangNews Skip to main content

BNM kekalkan OPR pada 2.75%, atasi jangkaan penganalisis

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 19 Jan - Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75% dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang pertama tahun ini, sekali gus mengatasi jangkaan penganalisis sebelum ini.

 

Menurut bank pusat itu, ekonomi global terus terjejas akibat tekanan kos yang kekal tinggi, kadar faedah yang lebih tinggi serta gangguan berkaitan COVID-19 di China. 

 

Kesan faktor-faktor ini melebihi kesan sokongan daripada keadaan pasaran pekerja yang positif serta pembukaan semula sepenuhnya ekonomi dan sempadan antarabangsa. 

 

"Inflasi keseluruhan menurun sedikit daripada paras tinggi sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Bagaimanapun, inflasi teras terus kekal melebihi purata yang pernah dicatatkan sebelum ini. 

 

"Bagi menguruskan tekanan inflasi, bank-bank pusat dijangka terus menaikkan kadar faedah, meskipun pada kadar yang lebih perlahan. Tindakan ini akan menyebabkan prospek pertumbuhan global terus menghadapi rintangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Bagi Malaysia, data terkini menunjukkan bahawa ekonomi terus berkembang pada suku terakhir tahun 2022 disebabkan oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan. 

 

Hasilnya, pertumbuhan 2022 dijangka melebihi julat unjuran awal, iaitu 6.5% hingga 7%. Selepas mencatatkan prestasi yang kukuh pada 2022, pertumbuhan 2023 dijangka sederhana berikutan ekonomi global yang lebih perlahan. P

 

Menurut BNM, pertumbuhan akan terus disokong oleh permintaan dalam negeri manakala perbelanjaan isi rumah akan disokong oleh prospek pekerjaan dan pendapatan yang terus bertambah baik.

 

"Bagi keseluruhan tahun 2023, inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka sederhana namun kekal pada tahap yang tinggi berikutan tekanan permintaan dan kos yang berlarutan. 

 

"Kawalan harga dan subsidi bahan api sedia ada serta lebihan kapasiti dalam ekonomi yang masih ada akan terus membendung sebahagian daripada tahap tekanan inflasi yang meningkat," katanya. 

 

Bank pusat itu berkata, keputusan OPR pada hari ini membolehkan MPC menilai kesan pelarasan OPR secara kumulatif memandangkan kesan sela masa (lag effect) dasar monetari terhadap ekonomi. 

 

Katanya, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi. 

 

"Langkah seterusnya untuk mengembalikan tahap akomodasi dasar monetari ke tahap yang wajar akan ditentukan oleh keadaan yang berubah-ubah dan kesannya terhadap prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri. 

 

"MPC akan terus menetapkan dasar monetari yang mengimbangi risiko inflasi dalam negeri dan pertumbuhan yang mampan," jelasnya. - DagangNews.com