Boilermech cadang tukar nama kepada BM GreenTech | DagangNews Skip to main content

Boilermech cadang tukar nama kepada BM GreenTech

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 25 Julai - Boilermech Holdings Bhd telah mencadangkan untuk menukar namanya kepada BM GreenTech Bhd.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, syarikat reka bentuk dan pembuatan dandang biojisim itu berkata nama yang dicadangkan tersebut telah ditempah dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada 10 Julai dan sah sehingga 8 Ogos.

 

“Syarikat akan memohon lanjutan masa bagi tempahan untuk nama yang dicadangkan selama 30 hari lagi sebelum tamat tempoh pada 8 Ogos,” kata Boilermech.

 

Dalam makluman berasingan, Boilertech memaklumkan bahawa pengarah urusan bersama, Leong Yew Cheong telah melupuskan 6.1 juta saham atau 1.18% kepentingan dalam syarikat itu pada harga RM4.36 juta dan masih memiliki 5.85% kepentingan dalam syarikat itu.

 

Beliau dilantik ke lembaga pengarah pada Oktober 2010 dan dilantik sebagai pengarah urusan bersama pada Mac 2021.

 

Pemegang saham terbesar Boilermech adalah QL Resources Bhd yang tersenarai di Pasaran Utama dengan 52.57% kepentingan.

 

Pada waktu penulisan, saham Boilermech menokok 2.5 sen atau 3.45% kepada 75 sen dengan modal pasarannya bernilai RM374.1 juta.  - DagangNews.com