Boost perluas rumusan PayLater patuh syariah ke seluruh negara | DagangNews Skip to main content

Boost perluas rumusan PayLater patuh syariah ke seluruh negara

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Jan - Boost, peneraju fintech (teknologi kewangan) serantau, meluaskan rumusan PayLater patuh syariah, Boost PayFlex kepada semua transaksi dalam aplikasi, di samping pembayaran kod QR. 

 

Boost berkata, menerusi rumusan inovatif itu, pengguna dengan akaun 'Premium Wallet' di aplikasi Boost boleh menikmati akses lebih meluas kepada saluran kredit terkawal patuh syariah. 

 

Katanya, saluran kredit tersebut boleh digunakan untuk melanjutkan tempoh pembayaran menjadi ansuran sehingga 3 bulan di lebih 1.8 juta peniaga DuitNow QR di Malaysia. 

 

"Ia juga boleh digunakan untuk menambah baki e-dompet, yang akan membolehkan pilihan PayLater bagi segala transaksi dalam aplikasi Boost, termasuk pengurusan bil, beli-belah dalam talian, penghantaran makanan dan lain-lain," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Selain itu katanya, sebagai produk patuh syariah berdasarkan konsep murabahah komoditi , perjalanan pengguna Boost PayFlexTM direka untuk memberi penjelasan yang telus bagi semua caj.

 

Katanya, bagi ansuran 3 bulan, terdapat fi wakalah sebanyak RM10 bagi setiap transaksi dan kadar keuntungan 2.5% sebulan. 

 

"Bagi pilihan 30 hari, terdapat fi wakalah sekali-bayar sehingga RM10 bagi setiap transaksi, tanpa kadar keuntungan. Pengguna juga akan dimaklumkan lebih awal dan diberi peringatan membabitkan tempoh bayaran balik, bersama-sama dengan caj lewat sebanyak 1% setahun," katanya.

 

 

boost

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boost, Sheyantha Abeykoon berkata, pihaknya kekal teguh dengan komitmen untuk memenuhi permintaan pasaran dan memacu keterangkuman kewangan lebih luas menerusi ekosistem fintech mereka yang kukuh. 

 

"Setelah menyediakan  kemudahan pembiayaan mikro kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), kami kini mengembangkan lagi kemudahan ini kepada lebih ramai pengguna, agar rakyat Malaysia memiliki fleksibiliti kewangan lebih menyeluruh," katanya.

 

Tambah kenyataan itu, bagi mengakses rumusan Boost PayFlexTM, pengguna terlebih dahulu perlu melengkapkan pengesahan e-KYC dengan menaik taraf ke akaun Premium Wallet Boost secara percuma. 

 

"Setelah naik taraf disempurnakan, pengguna yang layak boleh melengkapkan proses pengaktifan untuk Boost PayFlexTM, termasuk kontrak perjanjian terperinci dan pra-kebenaran kaedah pembayaran. 

 

"Setelah pengaktifan berjaya, pengguna boleh melihat dan menggunakan saluran kredit masing-masing pada halaman ‘Boost PayFlexTM’, yang mana perbelanjaan tertunda dan jadual pembayaran balik boleh dipantau," katanya.  - DagangNews.com