Boustead Heavy Industries raih kontrak kapal selam bernilai RM1.09 bilion daripada kerajaan | DagangNews Skip to main content

Boustead Heavy Industries raih kontrak kapal selam bernilai RM1.09 bilion daripada kerajaan

Subsidiari Boustead Heavy Industries terima kontrak kapal selam TLDM daripada Kementerian Pertahanan. Gambar web BHIC
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 12 Jun - BHIC Submarine Engineering Services Sdn Bhd (BSES), anak syarikat milik penuh Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC) meraih kontrak sokongan kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM1.09 bilion.

 

BHIC berkata, anak syarikatnya itu telah menerima Surat Anugerah bertarikh 5 Jun 2024 daripada Kementerian Pertahanan Malaysia yang mewakili Kerajaan Malaysia.

 

"BSES menerima Kontrak Berdasarkan Prestasi In-Service Support 2 untuk Kapal Selam Kelas Perdana Menteri TLDM dengan nilai kontrak sebanyak RM1.09 bilion termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan sebanyak 8%. 

 

 

 

 

"Kontrak rasmi antara Kerajaan Malaysia dan BSES akan dimuktamadkan dan dilaksanakan pada tarikh kemudian," katanya dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Jelas BHIC, kontrak ini akan memberikan sumbangan positif kepada pendapatan Kumpulan BHIC bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2024.

 

"Kecuali Tan Sri Dato' Wira Aziah Ali, (Dr.) Salihin Abang dan Fahmy Ismail yang merupakan Pengarah BHIC dan BSES, tiada seorang pun pengarah atau pemegang saham utama Syarikat, atau orang yang berkaitan dengan mereka, mempunyai sebarang kepentingan, secara langsung atau tidak langsung, dalam Kontrak," jelasnya.- DagangNews.com