BP Healthcare intai peluang dapatkan pegangan dalam Pharmaniaga | DagangNews Skip to main content

BP Healthcare intai peluang dapatkan pegangan dalam Pharmaniaga

KUALA LUMPUR 22 Mei - BP Healthcare Group, yang diasaskan oleh Datuk Beh Chun Chuan, berkata kumpulan itu telah menyatakan minatnya terhadap Pharmaniaga Berhad.

 

Chun Chuan berkata, BP Healthcare 'menyatakan minat' mereka ketika ditanya sama ada syarikat itu telah mengemukakan cadangan dalam usaha untuk mengubah Pharmaniaga. 

 

"Minat terhadap Pharmaniaga itu adalah disebabkan kami berada dalam perniagaan penjagaan kesihatan," katanya, lapor The Edge, hari ini.

 

Perkara itu juga mengesahkan laporan The Edge Weekly mengenai artikel berkaitan Pharmaniaga berjaya menarik pelabur berpotensi.

 

Menurut sumber, antara pihak yang berminat untuk membeli Pharmaniaga pada harga yang menarik termasuk dana institusi, firma ekuiti swasta dan entiti swasta yang mahu menukar nasib syarikat konsesi yang membekalkan ubat generik kepada hospital awam.

 

Februari lalu, Pharmaniaga jatuh di bawah klasifikasi Nota Amalan 17 (PN 17) selepas mencatatkan kerugian bersih suku tahunan terbesar sebanyak RM664.39 juta pada suku keempat berakhir 31 Disember 2022.

 

Syarikat itu mengalami kerugian besar RM552.3 juta pada vaksin COVID-19 yang tidak terjual. Ia juga mencatatkan muhibah unit pembuatan Indonesianya sebanyak RM50.3 juta.

 

Kumpulan itu dikehendaki menyerahkan pelan penyusunan semula kepada pihak berkuasa berkaitan dalam tempoh 12 bulan selepas pengumuman, selewat-lewatnya pada 27 Februari 2024.

 

BP Healthcare diasaskan oleh Chun Chuan dan isterinya Datin Poh Lay See pada 1982. 

 

Ia bermula sebagai pusat diagnostik kesihatan dan sejak itu telah berkembang menjadi penyedia penjagaan kesihatan bersepadu termasuk makmal klinik, farmasi, pusat pakar, ambulatori dan pergigian. - DagangNews.com