Brahim's sahkan runding lepaskan 70% ekuiti dengan beberapa pihak, termasuk entiti asing selain Malaysia Airlines | DagangNews Skip to main content

Brahim's sahkan runding lepaskan 70% ekuiti dengan beberapa pihak, termasuk entiti asing selain Malaysia Airlines

Datuk Seri Ibrahim Ahmad bercakap kepada media di Brahim's Food Services, Lapangan Terbang Kuala Lumpur, Sepang pada 8 September 2023. - Gambar NAIZ AZIZ/DagangNews
Oleh JOHARDY IBRAHIM

SEPANG 8 Sept - Pengerusi Eksekutif Brahim's Holdings Berhad, Datuk Seri Ibrahim Ahmad mengesahkan pihaknya sedang dalam perbincangan untuk melepaskan 70 peratus ekuiti di dalam Brahim's Food Services (BFS) dengan beberapa pihak termasuk entiti asing selain Malaysia Airlines.

 

Menurut beliau, terdapat beberapa syarikat, termasuk MAG, telah menghubungi BFS untuk membeli saham mereka.

 

"Kami berhasrat untuk melepaskan 70 peratus ekuiti tersebut pada harga yang betul dan berpatutan.

 

"Ada pihak tempatan yang berminat (yang telah menghubungi kami) dan satu pihak asing yang berminat juga. Tetapi itu semua dalam perbincangan (sekarang)," katanya. 


 

brahim's

Beliau berkata demikian pada sidang media di Brahim's Food Services, Lapangan Terbang Kuala Lumpur di sini hari ini. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BHB, Mohd Fadhli Abdul Rahman.

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Rundingan ambil alih MAS Catering sudah bermula awal 2003, tiada kaitan Pak Lah jadi PM, kata Ibrahim

 

Ditanya apakah beliau bersetuju dengan laporan sebelum ini yang memetik Deloitte Malaysia meletakkan tanda harga RM129 juta, Ibrahim berkata, `lebih daripada itu'.

 

Pada 23 Ogos, New Straits Times (NST) melaporkan bahawa Deloitte Malaysia menilai kepentingan 70 peratus Brahim dalam BFS sehingga RM129 juta, tidak termasuk sebarang muhibah.

 

Anggaran itu berdasarkan penilaian Deloitte Malaysia antara RM162.8 juta dan RM184 juta untuk BFS secara keseluruhan.

 

Malaysia Airlines menjadi perhatian sekarang ekoran kelewatan penerbangan dan rasa tidak puas hati dengan makanan di atas kapal yang disebabkan oleh pertukaran pembekal katering dalam penerbangan sejak 1 September 2023.

 

Syarikat katering dalam penerbangan Brahim, Brahim's Food Services Sdn Bhd (BFS) berhenti membekalkan makanan dalam penerbangan di atas pesawat Malaysia Airlines sejak 1 September 2023 selepas usaha untuk mendamaikan perbezaan kedua-dua syarikat itu gagal, menyebabkan mereka menamatkan kontrak katering selama dua dekad. 


 

brahim's
Proses memasak kari di dapur Brahim's Food Services, KLIA Sepang. Gambar NAIM AZIZ/DagangNews

 


MAG bagaimanapun masih memiliki 30 peratus kepentingan dalam BFS, manakala Brahim's memegang baki 70 peratus kepentingan.

 

BFS terus membekalkan makanan dalam penerbangan kepada 35 pelanggan syarikat penerbangan asingnya, Qatar Airways, Emirates, All Nippon Airways, Japan Airlines dan Turkish Airlines untuk menamakan beberapa tanpa sebarang gangguan.

 

"BFS boleh bertahan tanpa MAG, walaupun MAG sebelum ini menyumbang 50 peratus daripada pendapatan BFS. Kita sedang berbincang dengan dua syarikat penerbangan sekarang.

 

"Lazimnya, syarikat penerbangan antarabangsa tidak fokus kepada soal harga tetapi lebih kepada kualiti dan ini kami mampu berikan," kata beliau.

 

Sementara itu, Mohd Fadhli berkata, tuduhan Malaysia Airlines bahawa kualiti Brahim's teruk dan mengakibatkan kerugian syarikat penerbangan negara itu, agak aneh.

 

"Kami ada 36 syarikat penerbangan termasuk Malaysia Airlines dan enam daripadanya adalah antara tersenarai dalam 10 terbaik di dunia yang menjadi pelanggan katering penyajian penerbangan dan perkhidmatan kami.


 

brahim's
Contoh set sajian makanan Qatar Airways yang disediakan oleh Brahim's Food Services. - Gambar NAIM AZIZ/DagangNews

 


"Enam daripada 10 syarikat penerbangan terbaik dunia yang dibekalkan makanan dan perkhidmatan oleh Brahim's ialah Qatar Airways (tempat teratas terbaik dunia), Emirates, ANA All Nippon Airways, Japan Airlines, Turkish Airlines dan Korean Air.

 

"Kalau benarlah teruk perkhidmatan kami, mengapa hanya Malaysia Airlines mendakwa sedemikian?," kata beliau.

 

Ketua Pegawai Eksekutif itu berkata lagi adalah tidak adil untuk melabelkan kumpulan itu sebagai faktor utama yang mengheret pendapatan syarikat penerbangan itu, memandangkan perniagaan katering hanya mewakili 3% daripada jumlah kos operasi MAG.

 

"Seolah-olah kami ini tidak lebih sekadar jadi `kambing hitam', sesuka hati dituduh sebagai punca. Buatlah kira-kira. Tidak logik pun," kata Mohd Fadhli. - DagangNews.com