HEBOH seluruh Malaysia dengan kumpulan muzik dari United Kingdom yang mengundang kontroversi dan terpaksa dihentikan kerana perbuatan biadab ahli kumpulan tersebut.
Perbuatan tersebut adalah amat tidak bersesuaian dengan norma-norma budaya dan ketatasusilaan masyarakat kita di Malaysia ini. Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-Puspal) berkata, tindakan artis itu sangat biadab malah satu penghinaan, dan memperlekehkan undang-undang negara.
Rentetan dengan kejadian tersebut, konsert tersebut dibatalkan serta-merta dan JK-Puspal membuat laporan polis terhadap artis tersebut dan pihak penganjur atas kecuaian serta kegagalan mereka mematuhi syarat ditetapkan.
Dalam masa yang sama juga (Jk-Puspal), Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memutuskan menyenaraihitam kumpulan muzik tersebut daripada membuat sebarang persembahan di negara ini.
Namun dalam arena industri hiburan dalam negara kita juga terdapat beberapa kisah yang mana penganjuran-penganjuran festival atau konsert pernah dibatalkan dan diharamkan. Ia adalah sebahagian sejarah didalam industri negara kita untuk kita sama-sama mengambil ikhtibar dan pengajaran darinya.
Sejarah
Peminat-peminat rock tanahair pasti tidak akan lupa akan sejarah-sejarah berkenaan dengan jatuh bangunnya muzik rock pada zaman era kegemilangan muzik rock.
Pada awal 1980an hingga 1990an, kemunculan pelbagai kumpulan atau Band Muzik yang membawa genre Rock muncul bagai cendawan yang tumbuh. Pada ketika itu muzik rock mendominasi corong-corong radio. Pertandingan Kugiran atau “Battle Of The Band” banyak dianjurkan. Selain itu juga tapak-tapak expo atau tapak pestaria banyak mengundang kumpulan-kumpulan rock untuk hadir membuat persembahan.
Walaubagaimanapun imej rock tercalar dengan kejadian penyokong mengamuk di tapak pesta Sungai Nibong, Pulau Pinang pada 1986 semasa Battle Of The Bands. Ekoran itu Kerajaan telah mengambil langkah mengumumkan pengharaman ke atas sebarang konsert muzik rock berkuatkuasa serta-merta.
Semua pihak berkuasa juga diminta tidak lagi mengeluarkan sebarang permit bagi tujuan berkenaan sambil mendakwa muzik rock memberi pengaruh buruk kepada golongan belia pada waktu itu.
Langkah ini termasuk tidak membenarkan kumpulan yang berpakaian tidak rapi atau berambut panjang ditonjolkan dalam media kerajaan seperti Radio & Televisyen, kecuali sekiranya mereka bersedia memotong rambut dan berpakaian kemas.
Ada beberapa lagi insiden yang melibatkan persembahan konsert yang dibatalkan dan diharamkan oleh pihak kerajaan akibat daripada beberapa perilaku yang tidak baik dipamerkan dan membawa pengaruh budaya luar boleh membawa kesan buruk kepada masyarakat awam.
Sekitar tahun 2001, kita digemparkan dengan sebuah persembahan kumpulan black metal di utara tanahair yang mana ia dikatakan bercanggah dengan ajaran agama Islam. Lebih menggemparkan apabila isu black metal di yang dikatakan membawa pengaruh anti-keagamaan, anti-moral dan seks bebas.
Pada 2006, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) telah memutuskan bahawa amalan dan perbuatan Kumpulan Black Metal adalah sesat dan bercanggah dengan ajaran Islam sebenar. Oleh itu, umat Islam diminta menjauhi kumpulan tersebut kerana perbuatan dan amalan mereka boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada Islam.
Pengaruh Woodstock 1999
Pada peminat muzik atau yang gemar menyaksikan konsert-konsert antarabangsa, semestinya tidak lekang dari mulut mereka untuk bercerita tentang penganjuran konsert Woodstock 1999. Konsert Woodstock ini adalah konsert muzik yang membariskan pelbagai kumpulan muzik yang popular. Acara Woodstock ini adalah festival muzik yang dianjurkan setiap lima tahun dan berlangsung selama tiga hari di Rome, New York.
Konsert Woodstock ini dihadiri hampir 200,000 penonton. Festival Woodstock ini menggabungkan pelbagai genre dalam industri muzik di Amerika Syarikat(USA) dari Pop, R&B, Jazz, World Music sehinggalah ke Heavy Metal.
Namun penganjuran konsert tersebuat pada tahun 1999 adalah menjadi yang terakhir apabila festival tersebut menjadi sebuah festival yang terburuk dalam sejarah penganjuran konsert atau festival di dunia. Ia menjadi sejarah hitam apabila perilaku artis yang membuat persembahan yang agak liar dan ia mempengaruhi para penonton yang hadir untuk bertindak luar jangka.
Terdapat rusuhan, pergaulan seks bebas, arak, dadah serta pergaduhan berlaku ketika konsert itu sedang berlangsung. Malah ada yang memusnahkan kawasan dan membakar 12 trak, merompak vendor, memecahkan dan mencuri wang di mesin jruwang(ATM) dan banyak lagi sehinggakan ratusan dikejarkan ke hospital. Penganjuran awal konsert tersebut pada tahun 1969 adalah untuk menyebarkan keamanan dan kasih sayang. Namun apabila tindakan liar dan luar kawalan ia menjadi medan hitam untuk acara tersebut.
Pengajaran
Apa yang boleh diambil sebagai pengajaran ialah dari beberapa insiden yang berlaku, memang amat wajar pihak berwajib membatalkan serta-merta konsert tersebut dan ia adalah satu keputusan yang tepat.
Ia adalah demi menjaga keharmonian di dalam negara ini agar tidak menerima pengaruh luar yang tidak baik dan ditunjukkan kepada masyarakat kita secara terang-terangan. Jika tidak dibendung, ia akan menjadi barah yang semakin lama makin memakan pemikiran masyarakat kita. Walaupun di media sosial banyak perkara tersebut, namun sekurang-kurangnya kelak kita dapat membenteras dengan cepat.
Satu garis panduan yang ketat perlu diberikan kepada penganjur dan juga “promoter” jelajah konsert ini supaya artis yang mereka bawa masuk di dalam negara ini mengikut nilai dan norma budaya negara ini dan tidak hanya melihat keuntungan semata-mata dengan hasil jualan tiket.
Garis panduan tersebut perlu menyenaraikan semak imbang yang mana artis-artis mereka perlu patuhi. Penganjur atau “promoter” sudah tahu tentang latar belakang artis atau kumpulan yang mereka mahu bawa masuk ke negara ini untuk membuat persembahan. Malah label syarikat rakaman juga sudah tahu apa yang dibawa atau yang diperjuangkan oleh artis dibawah naungan mereka.
Mungkin satu Prosedur Operasi Standard(SOP) perlu diwujudkan secara menyeluruh dalam pelaksanaan tindakan pencegahan. Sekiranya SOP tersebut wujud, tiada isu tuding menuding jari menyalahkan pelbagai pihak kerana lewat mengambil tindakan.
Antara syor yang mungkin penulis boleh cadangkan agar perlu ada jawatankuasa jaringan bersama yang mana didalam jawatankuasa tersebut ada beberapa pihak berkuasa seperti Jabatan Imigresen (jika melibatkan artis luar negara), Kementerian Dalam Negeri (KDN), PDRM, Pihak Berkuasa Tempatan dan beberapa pihak yang terlibat dalam memberikan kelulusan sebarang konsert besar artis luar. Walaupun nampak agak ketat, namun dalam menjaga keharmonian negara ini ia adalah sesuatu yang perlu difikirkan untuk tindakan.
Selain itu, sebagai contoh Lembaga Penapis Filem(LPF) menjadi “Gatekeeper” untuk setiap filem luar yang ditayangkan. Hanya lampu hijau yang diberikan oleh LPF sahaja boleh ditayangkan. Jika pihak pembuat filem tidak dapat mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh LPF, maka filem tersebut tidak mendapat kelulusan tayangan di negara ini.
Untuk rujukan pada tahun lalu LPF tidak membenarkan tayangan filem “Lightyear” yang didapati mengandungi elemen mempromosi gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang telah melanggar aspek utama di dalam Garis Panduan Penapisan Filem, Kementerian Dalam Negeri 2010. Oleh kerana pihak pengedar filem tersebut enggan mengikut garis panduan dari LPF, dengan itu LPF membatalkan tayangan filem tersebut di Negara ini.
Mungkin dari segi teorinya agak berbeza untuk membuat perbandingan diantara persembahan langsung(konsert) dan filem, namun dari segi perlaksanaan permohonan atau “gatekeeper”, LPF boleh dijadikan sebagai rujukan.
Dalam kita berhibur kita tidak lupa dan leka akan keharmonian serta pendirian kita dalam menolak sebarang perkara yang membawa mudarat kepada masyarakat. Tidak salah untuk berhibur, namun perlu ada batas dan adab serta norma-norma yang baik.
Sikap tegas pihak yang berwajib menghentikan konsert tersebut adalah amat baik. Jika tidak dihentikan ia akan membawa mudarat kepada penonton yang hadir. Paling menakutkan apabila ia tidak dapat dikawal dan bakal menjadi seperti Woodstock 1999. Apa yang merisaukan adalah apabila budaya barat yang dibawa masuk dan terang terangan meracuni pemikiran-pemikiran masyarakat negara ini lebih-lebih lagi para belia. - DagangNews.com