Buku `Ismail Sabri Yaakob: Teraju keselamatan, depani ancaman COVID-19' karya Ruhaidini Abd Kadir dilancarkan | DagangNews Skip to main content

Buku `Ismail Sabri Yaakob: Teraju keselamatan, depani ancaman COVID-19' karya Ruhaidini Abd Kadir dilancarkan

Buku bertajuk `Ismail Sabri Yaakob: Teraju keselamatan, depani ancaman COVID-19' tulisan Datuk Ruhaidini Abd Kadir yang dilancarkan pada 13 Julai 2022.
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 14 Julai - Detik-detik penting 17 bulan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Kanan Pertahanan (Kluster Keselamatan) terakam dalam buku 'Ismail Sabri Yaakob: Teraju keselamatan, depani ancaman COVID-19'.

 

Buku setebal 110 halaman itu ditulis dan disunting oleh bekas Wartawan Utusan, Datuk Ruhaidini Abd Kadir yang kini Pengarah Media dan Strategik Komunikasi kepada Perdana Menteri.

 

Diterbitkan oleh Kementerian Pertahanan dan mengandungi lima bab, buku berkonsepkan 'coffee table book' ini banyak mengandungi gambar-gambar terbaik Ismail Sabri dan petikan-petikan yang signifikan sebagai Menteri Kanan Pertahanan (Kluster Keselamatan) ketika itu.

 

Dalam prakata buku berkenaan, Perdana Menteri menyifatkan pelantikan sebagai Menteri Kanan Pertahanan pada Mac 2020 ketika negara sedang berhadapan dengan ancaman penularan wabak COVID-19 sangat mencabar.

 

 

PM
Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob menunjukkan buku 'Ismail Sabri Yaakob: Teraju keselamatan, depani ancaman COVID-19' yang dirasmikan pada Majlis Pelancaran Blueprint Perumahan 3.0 Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur pada 13 Julai 2022. Turut kelihatan, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. 

 

 

Bermula detik itu katanya, seluruh kekuatan digembleng secara bersama dengan agensi-agensi kerajaan termasuk pasukan kesihatan dan keselamatan selaku barisan hadapan digerakkan secara bersepadu dalam usaha menangani wabak.

 

"Segala faktor yang boleh menjadi punca kepada penularan wabak dikenal pasti dan ditangani sebaiknya. Peperangan menentang COVID-19 ini merupakan sesuatu yang besar dan mencabar.

 

 

Datuk Ruhaidini Abd Kadir
               Datuk Ruhaidini Abd Kadir

 

 

"Berperang dengan musuh yang tidak kelihatan, namun berada di sekeliling kita. Setiap peperangan mesti dimenangi dan nyawa rakyat mesti diselamatkan," tulis Ismail Sabri.

 

"Walaupun belum berjaya sepenuhnya, namun dengan strategi kesihatan yang berkesan dan pelaksanaan kawalan pergerakan serta sokongan penuh daripada rakyat serta, akhirnya kita berjaya melandaikan lengkung jangkitan wabak COVID-19.

 

Perdana Menteri menyatakan: "Sekalung penghargaan dan terima kasih tidak terhingga kepada semua pihak khususnya agensi-agensi kerajaan termasuk petugas barisan badapan, syarikat-syarikat korporat serta seluruh rakyat Malaysia yang telah bersama-sama kerajaan dalam mengharungi tempoh sukar dan mencabar ini.

 

"Diharap secebis pengalaman yang diabadikan dalam buku in dapat menjadi rujukan buat generasi akan datang," tulis Ismail Sabri. - DagangNews.com