Bumi Armada catat untung bersih Q3 berjumlah RM153.4 juta | DagangNews Skip to main content

Bumi Armada catat untung bersih Q3 berjumlah RM153.4 juta

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 19 Nov - Bumi Armada Bhd. merekodkan untung bersih sebanyak RM153.4 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021, meningkat 79.2% daripada RM85.61 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Bagaimanapun, pendapatan kumpulan bagi tempoh berkenaan susut kepada RM545.7 juta berbanding tempoh sama tahun lalu sebanyak RM564.4 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Penurunan segmen operasi dan pengeluaran terapung (FPO) terutamanya disebabkan ketersediaan kapal yang lebih rendah disebabkan penutupan tidak dirancang salah satu fasiliti di Armada Kraken FPSO.

 

Pendapatan menerusi segmen perkhidmatan marin luar pesisir yang menurun pula disebabkan kurangnya operasi perkhidmatan kapal luar pesisir (OSV) disebabkan jualan kapal. 

 

Ini menyaksikan keuntungan sebelum rosot nilai berjumlah RM244.5 juta pada suku ketiga berbanding RM279.2 juta pada suku sebelumnya. 

 

Sebanyak 4 OSV dijual dalam tempoh berkenaan sejajar dengan inisiatif pengewangan aset kumpulan terhadap segmen OMS.

 

Kumpulan mengiktiraf keuntungan daripada jualan ini sebanyak RM5.8 juta dan rosot nilai RM6.2 juta melibatkan beberapa kapal yang tinggal.

 

Pada masa sama, nilai pesanan kumpulan kekal kukuh setakat akhir suku ketiga berjumlah RM14.6 bilion, dengan tambahan pilihan lanjutan sehingga RM9.6 bilion. 

 

Mengulas mengenai prestasi kewangan ini, Ketua Pegawai Eksekutif Bumi Armada, Gary Christenson berkata, kumpulan memberi fokus kepada kecemerlangan operasi dan kecekapan kos yang menyokong prestasi kewangan kukuh pada suku ketiga 2021.

 

"Ini membolehkan kami terus mengurangkan hutang dan meningkatkan imbangan tunai kami. 

 

"Di samping itu, kami juga akan terus memberi fokus kepada aspek keselamatan, kemampanan, kecemerlangan operasi dan kewangan," katanya. - DagangNews.com