Bumi Armada diunjur capai untung bersih tertinggi bersejarah sebanyak RM844 juta pada FY24 – Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Bumi Armada diunjur capai untung bersih tertinggi bersejarah sebanyak RM844 juta pada FY24 – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 16 Feb - Bumi Armada Berhad diunjur mencapai keuntungan bersih tertinggi bersejarah sebanyak RM844 juta pada tahun kewangan 2024 (FY24) seperti yang dijangkakan Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Firma penyelidikan itu berkata, prospek optimis itu didorong pelbagai faktor, termasuk jangkaan pengiktirafan kontrak penyewaan kapal kosong untuk unit penyimpanan dan pemunggahan pengeluaran terapung (FPSO) Sterling V pada April, di samping pengurangan kos kewangan.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata terdapat sedikit pelarasan pada unjuran keuntungan bersih bagi FY23 dan FY24.

 

“Ini terutamanya disebabkan kelewatan pengiktirafan penyewaan kapal kosong sehingga April 2024, akibat kelewatan Perbadanan Minyak dan Gas Asli (ONGC) India dalam mencapai pengeluaran minyak pertama,” katanya dalam nota.

 

Namun, Maybank IB berkata penyelesaian terkini berhubung isu FPSO Kraken bersedia untuk menjadi pemangkin kepada pertumbuhan keuntungan bersih syarikat pada masa hadapan.

 

Menurut firma penyelidikan itu, FPSO Kraken berjaya mencapai pengeluaran penuh menjelang Ogos 2023 meskipun operasinya ditutup pada suku kedua 2023 disebabkan kegagalan transformer. 

 

Firma itu berkata keuntungan bersih teras Bumi Armada terkesan oleh penutupan FPSO terbabit, yang merosot kepada RM47 juta pada suku tersebut tetapi melantun semula kepada RM181 juta pada suku ketiga 2023. 

 

Ia menambah bahawa unjuran keuntungan bersih teras FY23 yang disemak semula menunjukkan peningkatan pada suku keempat 2023 kepada RM210 juta.

 

Maybank IB mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 65 sen sesaham. 

 

“Pelabur yang mempunyai prospek kenaikan harga pada Bumi Armada boleh mempertimbangkan waran panggilan ARMADA-C84 memandangkan responsif yang tinggi terhadap saham asas pada 2.3 mata,” katanya.

 

Setakat pukul 11:14 pagi ini, saham Bumi Armada didagang tinggi 0.5 sen atau 0.9% pada 54.5 sen dengan 6.35 juta saham bertukar tangan, memberikannya permodalan pasaran bernilai RM3.2 bilion. - DagangNews.com