Bumi Armada terima AIP daripada ABS bagi rumusan inovatif infrastruktur gas asli cecair terapung | DagangNews Skip to main content

Bumi Armada terima AIP daripada ABS bagi rumusan inovatif infrastruktur gas asli cecair terapung

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Okt - Bumi Armada Berhad menerima kelulusan prinsipal (AIP) daripada Biro Perkapalan Amerika (ABS) bagi rumusan inovatif infrastruktur gas asli cecair terapung (FLNG).

 

Rumusan itu merupakan kaedah inovatif yang membawa LNG kepada pasaran dengan pantas, kos efektif, fleksibel dan diyakini.

 

Konsep baharu FLNG ini menggabungkan unit pencairan berasaskan kapal yang baharu dibina dan penggunaan pengangkut  LNG sedia ada untuk penyimpanan.

 

Bumi Armada telah membangunkan unit pencairan berasaskan kapal untuk kapasiti reka bentuk LNG piawai berdasarkan reka bentuk padat termodular dan boleh diulang.

 

"Konsep ini membolehkan pendekatan berperingkat bagi menggunakan unit pencairan selari untuk memadankan sebarang kapasiti yang diperlukan untuk pengewangan gas, menghapuskan keperluan untuk infrastruktur darat yang mahal.

 

"Penggunaan semula pengangkut LNG dijangka menyediakan pilihan yang selamat dan berkualiti untuk penyimpanan LNG.

 

"Bumi Armada yakin bahawa pendekatan yang diperkemas ini akan menghasilkan penjimatan masa dan kos yang banyak," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bumi Armada, Gary Christenson berkata, pihaknya komited membawa penyelesaian yang inovatif dan mampan yang boleh mempercepatkan penyampaian tenaga yang lebih bersih.

 

"Teknologi ini adalah bukti komitmen kami ke arah menyediakan penyelesaian terbaik yang membuka kunci laluan untuk mencapai sifar bersih menjelang 2050, yang terdapat dalam agenda nayhkarbon Bumi Armada," katanya.

 

Sementara itu, Naib Presiden Kanan ABS untuk Luar Pesisir Global, Miguel Hernandez berkata, pihaknya berbesar hati menyokong Bumi Armada dalam usaha menawarkan rumusan penyimpanan LNG yang selamat dan diyakini.

 

"AIP kami baru-baru ini untuk konsep FLNG inovatif mereka adalah bukti kerjasama berterusan dengan Bumi Armada dan kami berharap untuk menyokong pembangunan selanjutnya konsep ini," katanya. - DagangNews.com