Bursa Malaysia bekerjasama dengan bursa saham Indonesia, Thailand teroka ekosistem ESG | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia bekerjasama dengan bursa saham Indonesia, Thailand teroka ekosistem ESG

(Dari kiri) Datuk Muhamad Umar Swift bersama Presiden SET, Pakorn Peetathawatchai dan Presiden Pengarah IDX, Iman Rachman menandatangani MoU untuk bursa saham masing-masing.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 19 Sept - Bursa Malaysia Bhd memeterai memorandum persefahaman dengan Bursa Saham Indonesia (IDX) dan Bursa Saham Thailand (SET) untuk meneroka penubuhan ekosistem berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) antara wilayah, yang memacu penciptaan nilai perniagaan dan memupuk pembangunan mampan di ASEAN.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, pengendali bursa saham Malaysia itu berkata MoU tersebut menandakan peristiwa penting dalam meningkatkan kerjasama serantau dan memajukan kemampanan di ASEAN.

 

Tambahnya, MoU itu turut menandakan komitmen untuk menghijaukan rantaian bekalan, sambil mengiktiraf potensi untuk mengoptimumkan kesalinghubungan dan kebolehbandingan data ESG dalam rantau ini.

 

Kerjasama ketiga-tiga bursa saham ini bertujuan untuk merangsang penggunaan amalan ESG yang baik dan memacu pertumbuhan bertanggungjawab dalam pasaran masing-masing, sambil menawarkan peluang rentas sempadan berkaitan pelaburan ESG merentasi ketiga-tiga pasaran.

 

Menurut kenyataan itu, mereka akan meneroka inisiatif termasuk mengenal pasti komponen kritikal infrastruktur ESG bagi menyokong syarikat mencapai penyahkarbonan dan kemampanan merentasi rantaian bekalan mereka.

 

Di samping itu, kerjasama tersebut akan mewujudkan persekitaran ‘sandbox’ yang direka untuk memudahkan perdagangan dan mewujudkan peluang perniagaan baharu untuk syarikat dan rantaian bekalan mereka, termasuk perusahaan kecil dan sederhana.

 

Selain itu, ia akan memanfaatkan kepakaran amalan ESG melalui bengkel, sesi latihan dan program perkongsian pengetahuan untuk menyokong peningkatan ekosistem ESG.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Muhamad Umar Swift berkata, “Melalui kerjasama ini, kami menyasarkan untuk meningkatkan kerjasama rentas sempadan dan merebut peluang untuk mengharmonikan langkah ESG dan infrastruktur ESG yang menggalakkan amalan perniagaan mampan di ASEAN.

 

"MoU ini mewujudkan asas bagi kerjasama serupa dengan bursa lain yang berminat di Asia dan meletakkan asas kukuh untuk melibatkan rakan kongsi dari negara di utara juga," katanya.

 

Pemeteraian MoU ini adalah berdasarkan komitmen dalam kalangan bursa saham ASEAN baru-baru ini untuk menyeragamkan 10 metrik tadbir urus untuk digunakan sebagai panduan prinsip pendedahan bagi syarikat tersenarai di bursa masing-masing.  - DagangNews.com