KUALA LUMPUR 14 Julai - Bursa Malaysia Derivatives Bhd. bersama Shanghai Futures Exchange (SHFE) dan Shanghai International Energy Exchange (INE) menandatangani memorandum persefahaman bagi mengukuhkan kerjasama perniagaan sedia ada.
MoU itu akan memberi komitmen kepada bursa berkenaan untuk berkongsi maklumat dan amalan terbaik berkaitan pembangunan produk, operasi pasaran dan dalam bidang kepentingan bersama untuk ketiga-tiga pasaran.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Derivatives, Samuel Ho berkata, kerjasama itu merupakan perkembangan positif yang akan meletakkan asas bagi hubungan jangka panjang antara Bursa Malaysia Derivatives, SHFE dan INE.
Katanya, selain daripada memacu pertumbuhan pasaran derivatif ASEAN, MoU itu secara tidak langsung akan menyokong dan menyumbang ke arah perdagangan ekonomi China-Malaysia, memandangkan kedudukan China sebagai rakan dagang dan pengimport getah terbesar Malaysia.
"Kami berharap dapat bekerjasama dengan SHFE dan INE dalam pembangunan produk baharu yang bukan sahaja akan melengkapkan tawaran sedia ada, tetapi juga mampu memenuhi keperluan pelanggan yang semakin sofistikated," katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara lain, MoU itu adalah sebahagian daripada komitmen SHFE dan INE untuk membuka pasaran niaga hadapan China, selain memperkukuhkan kerjasama dengan Bursa Malaysia Derivatives.
Ketika ini, INE telah menarik pelabur luar negara dari lebih 20 buah negara dan rantau merentasi 6 benua termasuk Asia, Eropah, Amerika Utara, Amerika Selatan, Afrika dan Ocenia.
Ia juga mempunyai paling banyak produk antarabangsa berbanding bursa niaga hadapan komoditi China yang lain.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SHFE dan INE, Wang Fenghai menyifatkan kerjasama itu menandakan hubungan akrab yang terjalin antara ketiga-tiga bursa berkenaan selama ini.
"Oleh itu, SHFE dan INE berhasrat untuk terus bekerjasama dengan Bursa Malaysia Derivatives untuk belajar dan mendalami pasaran masing-masing secara bersama dan menyediakan lebih banyak kaedah pengurusan risiko kepada pelabur," katanya. - DagangNews.com